
KUALA LUMPUR/Kepulauan Solomon: Gempa bumi dengan magnitud 6.5 skala Ritcher melanda di Kepulauan Solomon, pada jam 4.15 pagi hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataannya berkata, pusat gempa bumi tersebut terletak di kedudukan 6.9° Selatan dan 155.5° Timur dengan kedalaman 85 kilometer iaitu bersamaan 74km Selatan dari kawasan Arawa di Papua New Guinea.
Bencana tersebut juga dinyatakan dalam laman web volcanodiscovery.com yang mana semua penduduk di kawasan tersebut mengalami gempa bumi cetek (shallow earthquake).
“Orang ramai yang berada di sekitar Arawa sudah pasti dapat merasakan berlakunya gegaran gempa bumi itu,” ujar kenyataannya.
Namun begitu, tambah kenyataan berkenaan, magnitud dan kedalaman gempa tersebut akan disemak semula dalam beberapa jam kemudian apabila ahli seismologi akan menyemak semula data-data berkaitan gempa bumi tersebut.
Difahamkan, gempa bumi tersebut berpotensi menyebabkan kerosakan sederhana dan tinggi kepada bangunan dan infrastruktur lain di kawasan tersebut sekiranya berlakunya magnitud yang lebih besar.
Walau bagaimanapun, MetMalaysia melaporkan bahawa gempa bumi tersebut tidak akan memberi ancaman tsunami terhadap Malaysia. -Agensi/– HARAKAHDAILY 2/9/2024




















