
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di negeri Perlis dan Kedah.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, kawasan yang terlibat ialah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar dan Pokok Sena yang berpotensi untuk menghadapi cuaca tersebut
“Cuaca ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka akan berlaku sehingga pukul 12 tengah hari ini di kawasan-kawasan tersebut.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20milimeter/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” ujarnya melalui kenyataan di Facebook, hari ini.
MetMalaysia menambah amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
MetMalaysia turut menasihatkan orang awam untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih. – HARAKAHDAILY 2/9/2024




















