
KUALA LUMPUR: Isu pelesenan media sosial telah mencetuskan perbezaan pendapat antara pihak kerajaan dengan kebimbangan yang disuarakan oleh pemain industri serta masyarakat berkaitan hak kebebasan bersuara.
QGenAnalysts dalam kenyataannya berkata, meskipun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menjelaskan bahawa Asia Internet Coalition (AIC) telah terlibat dalam perbincangan awal mengenai perkara ini, sentimen awam yang bercampur-campur menunjukkan adanya keperluan untuk pendekatan yang lebih telus dan seimbang.
Sebelum ini, pada Julai 2024, QGenAnalysts melaporkan bahawa MCMC mengumumkan keperluan bagi semua perkhidmatan media sosial seperti Google, Meta, dan TikTok untuk memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Pada 27 Ogos 2024, AIC, yang terdiri daripada Google, Meta, dan X (sebelum ini Twitter), telah meminta kerajaan Malaysia untuk menangguhkan pelaksanaan lesen tersebut, dengan alasan peraturan mengenai lesen ini masih tidak jelas.
Namun, MCMC menolak dakwaan AIC dan menegaskan bahawa perbincangan telah diadakan dengan AIC.
“Data AI (kecerdasan buatan) menunjukkan bahawa isu ini mencapai kemuncaknya pada 27 Ogos 2024, dengan sentimen netizen yang berbelah bahagi di pelbagai platform,” ujar organisasi QgenAnalysts dalam satu kenyataan hari ini.
Pertubuhan itu melaporkan bahawa di TikTok dan Facebook, ramai pengguna mengkritik kerajaan, berpendapat bahawa lesen tersebut menyekat kebebasan bersuara.
“Terutama dengan adanya beberapa hantaran anti-kerajaan yang dipadamkan, serta laporan Indeks Kebebasan Akhbar Dunia yang menunjukkan penurunan kedudukan Malaysia dari 73 ke 107.
“Namun, di X, netizen memuji tindakan pantas MCMC yang menjelaskan bahawa AIC telah pun dirujuk mengenai perlesenan ini,” kata QgenAnalysts. – HARAKAHDAILY 30/8/2024




















