Facebook Ustaz Azhar Idrus kini aktif semula

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Akaun media sosial milik pendakwah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus kini sudah boleh diakses semula selepas ‘hilang’ secara tiba-tiba sejak semalam.

Satu kenyataan media telah dimuat naik oleh Kumpulan Media Ustaz Azhar Idrus di laman Facebook rasminya dengan mengatakan akaun tersebut boleh diakses kembali pada pukul 10.40 malam tadi.

- Advertisement -

“Terima kasih atas sokongan anda semua,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Dalam pada kenyataan itu juga, mereka mendakwa bahawa masalah yang berlaku adalah sepenuhnya disebabkan oleh isu teknikal dan tiada kaitan dengan pihak ketiga.

“Kami berharap agar semua pihak dapat menghentikan segala spekulasi dan perspektif yang tidak tepat. Semoga kita semua sentiasa dalam rahmat Allah,” ujarnya.

Terdahulu, tular dakwaan netizen apabila mereka menyedari akaun media sosial milik pendakwah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus ‘hilang’ secara tiba-tiba dan tinjauan Harakahdaily juga mendapati perkara yang sama.

Sementara itu, admin akaun tersebut hanya berkongsi maklumat dengan melalui kumpulan-kumpulan kecil yang berkongsi tentang pendakwah berkelahiran Terengganu itu.

Azhar, 60, yang lebih dikenali UAI atau ‘Daie sejuta ummat’ popular dengan gaya penyampaian dan ceramahnya amat bersahaja dan diselit dengan jawapan pekat dengan dialek Terengganu.  – HARAKAHDAILY 30/8/2024

- Advertisement -