Pendakwaan ‘terpilih’ terhadap Muhyiddin bermotif politik

Muhyiddin (tengah), Hamzah (kanan) dan Ahmad Faizal.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Pendakwaan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Akta Hasutan 1948 merupakan satu lagi pendakwaan ‘terpilih’ bermotifkan  politik.”

Setiausaha Agong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, kenyataan tersebut dinyatakan oleh Timbalan Presidennya, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 27 Ogos lepas.

- Advertisement -

“Beliau sendiri menyifatkan pendakwaan Tan Sri Muhyiddin  di bawah Akta Hasutan 1948 sebagai satu lagi pendakwaan terpilih bermotif politik dan berniat jahat bagi menekan pimpinan Bersatu serta Perikatan Nasional (PN).

“Tambahan pula apabila pihak polis dan Jabatan Peguam Negara memutuskan secara tergesa-gesa untuk mendakwa beliau tanpa mengendahkan fakta dan keterangan daripada individu-individu utama yang terlibat serta memperhalusi dokumen-dokumen yang telah diserahkan.” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Menurut beliau, penahanan tersebut merupakan sesuatu yang amat luar biasa.

“Ia sememangnya luar biasa apabila Ketua Polis Negara memperakui bahawa kertas siasatan telah diserahkan kepada pihak Peguam Negara pada hari yang sama kenyataan Tan Sri Muhyiddin direkodkan bersama dokumen-dokumen yang berkaitan.

“Antaranya ialah Surat Arahan dari Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk mengemukakan Akuan Berkanun sebagai bukti sokongan majoriti, Bukti 115 Akuan Berkanun dari ahli Parlimen yang menyokong YB Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan Akuan penerimaan daripada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong,” jelasnya.

Sehubungan itu, Hamzah menyatakan bahawa Bersatu mengecam sekeras-kerasnya sikap hipokrasi Pakatan Harapan (PH) yang dahulunya lantang menentang Akta Hasutan 1948 dan berjanji untuk menghapuskan akta yang dikatakan undang-undang zalim atau “draconian law” dalam menifestonya sebelum membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Kata beliau lagi, kerajaan pada hari ini telah menggunakan Akta Hasutan 1948 berulang kali secara zalim bagi menekan dan menindas pihak lawan politik.

“Bersatu percaya bahawa institusi kehakiman dalam negara akan bertindak secara bebas, adil dan bijaksana dalam menilai keseluruhan peruntukan dalam Akta Hasutan 1948, termasuk peruntukan pengecualian bagi suatu perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan, atau benda lain untuk disifatkan sebagai menghasut.

“Mesyuarat Khas MPT Bersatu membuat ketetapan sebulat suara untuk berdiri teguh bersama Tan Sri Muhyiddin dan menyeru seluruh pimpinan, akar umbi dan penyokong parti untuk bersolidariti bersama beliau menentang segala bentuk kezaliman yang menghalang pemimpin PN untuk terus bersuara menegakkan kebenaran,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/8/2024

- Advertisement -