Pavel Durov dibebaskan dengan ikat jamin RM23.7 juta

Pavel Durov dibebaskan dengan ikat jamin tetapi dilarang meninggalkan Perancis. (FOTO: The Crypto Times)
- Advertisement -

PARIS: Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) aplikasi Telegram, Pavel Durov dibebaskan dengan ikat jamin AS$5.5 juta (RM23.7 juta) pada hari ini, Khamis (29 Ogos) selepas empat hari ditahan di Perancis, dilarang meninggalkan negara itu.

Pendakwa raya Paris Laure Beccuau dalam satu kenyataan berkata, Durov telah dibebaskan dengan syarat beliau mesti melaporkan diri di balai polis dua kali seminggu serta kekal  berada di Perancis.

- Advertisement -

Larangan meninggalkan Perancis dikaitkan dengan kemungkinan Durov akan dibicarakan di mahkamah berkaitan tuduhan kandungan haram yang dibawa dalam aplikasi pemesejannya itu.

Durov yang dilahirkan di Rusia, berpakaian hitam dan berkaca mata gelap, berjalan pantas keluar dari mahkamah Paris ke dalam kereta yang menunggu selepas didakwa tetapi dibenarkan bebas di bawah pengawasan kehakiman.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada peguamnya dan dengan pantas dibawa masuk ke dalam kenderaan oleh seorang lelaki berbadan tegap yang kelihatan seperti pengawal peribadi, lapor AFP.

Terdahulu, Durov, 39, didakwa atas beberapa pertuduhan gagal membendung kandungan pelampau dan haram pada aplikasi pemesejan popular yang kini mempunyai lebih 900 juta pengikut tetapi didakwa menjadi semakin kontroversi.

Tuduhan itu membabitkan dakwaan jenayah yang melibatkan kumpulan tersusun, termasuk ‘bersubahat dalam pentadbiran platform dalam talian untuk membolehkan transaksi haram’.

Pertuduhan ini sahaja boleh menyebabkan Durov dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda 500,000 euro jika sabit kesalahan.

Pendakwa raya Paris berkata pihak berkuasa kehakiman Perancis telah dimaklumkan tentang ‘hampir ketiadaan respons’ daripada Telegram kepada permintaan daripada pihak berkuasa dan mula-mula membuka siasatan pada Februari 2024.

Peguamnya, David-Olivier Kaminski berkata, adalah ‘tidak masuk akal’ untuk mendakwa  Durov terlibat dalam sebarang jenayah yang dilakukan pada aplikasi itu, sambil menambah: “Telegram mematuhi dalam semua aspek dengan peraturan Eropah mengenai teknologi digital.”

Di Moscow, jurucakap Kremlin Dmitry Peskov memberi amaran kepada Perancis agar tidak mengubah kes itu menjadi ‘penganiayaan politik’, dan menekankan Durov  masih ‘warga negara Rusia’ dan ‘Rusia akan memerhatikan apa yang berlaku seterusnya’.

Antara yang turut menyuarakan sokongan untuk Durov ialah rakan taikun teknologi media sosial  dan Ketua Eksekutif X, Elon Musk, yang telah menyiarkan komen di bawah hashtag #FreePavel.

Selepas pertuduhan terhadap Durov, Musk menyiarkan meme pada X kamera pengawasan yang dipasang pada bangunan yang ditulis dengan moto Perancis, ‘ebebasan, kesaksamaan, persaudaraan’.

Terdahulu, Durov telah ditangkap di lapangan terbang Le Bourget di luar Paris lewat Sabtu dan disoal siasat pada hari berikutnya oleh penyiasat Perancis.

Beliau mengasaskan Telegram ketika dalam proses untuk meninggalkan negara asalnya Rusia sedekad lalu berikutan pertikaian dengan pihak berkuasa berkaitan pemilikan projek pertamanya, rangkaian sosial berbahasa Rusia VKontakte.

Seorang tokoh misterius yang jarang bercakap di khalayak ramai, Durov merupakan warga Rusia, Perancis dan Emiriah Arab Bersatu – lokasi Telegram berpusat.

Majalah Forbes menganggarkan kekayaan terkumpulnya sekarang berjumlah AS$15.5 bilion, walaupun dia dengan bangganya mempromosikan kebaikan kehidupan zuhud yang termasuk mandi ais dan tidak meminum alkohol atau kopi. – HARAKAHDAILY 29/8/2024

- Advertisement -