Kembalikan hak dan mandat kepada rakyat

Zurk Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat telah menyaksikan sendiri 209 Ahli Parlimen bersetuju secara sebulat suara dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkenaan Akta Anti Lompat Parti pada 28 Julai 2022.

Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Zurk Ahmad berkata, pindaan pada Perkara 49A Perlembagaan Malaysia tersebut menyatakan dengan jelas bahawa mana-mana Ahli Dewan Rakyat akan tergugur keahliannya sebagai Ahli Dewan Rakyat jika keluar atau tidak lagi menjadi anggota partinya.

- Advertisement -

“Susulan pindaan ini, lapan negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Kelantan, Sarawak dan Melaka sudah menguatkuasakan Enakmen Negeri masing-masing berkaitan undang-undang anti lompat parti di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Parti-parti politik; DAP, PAN, Umno dan Bersatu turut melakukan pindaan Perlembagaan parti masing-masing bagi memberi definisi kepada frasa ‘tidak lagi menjadi anggota parti politik’.

“Semua pindaan ini dilakukan bagi memberi keyakinan kepada rakyat dan mengekang budaya lompat parti pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini 

Susulan itu, tambah Zurk, Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof berpendapat berkenaan kes enam wakil rakyat Bersatu  yang menukar sokongan kepada pemimpin parti lawan dengan membelakangkan parti sendiri adalah jelas merupakan satu bentuk ‘keluar parti’, walaupun berlaku secara tersirat.

Menurut Zurk lagi, maka, kerusi-kerusi berkenaan perlu diisytiharkan kosong dan Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu dilangsungkan dan itulah tujuan peraturan Anti Lompat Parti.

“Rata-rata rakyat di media sosial juga memberi respons serupa terhadap isu ini,” katanya.

Kata Zurk, menurut QGenAnalysts, data bacaan di Facebook dan TikTok menunjukkan 70 peratus respons negatif terhadap Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) dengan majoriti komen di Facebook mempersoal akan keperluan akta anti lompat parti apabila seorang Speaker boleh membuat tafsirannya sendiri. 

“Lebih menarik, terdahulu PH merupakan watak yang paling lantang mengecam budaya lompat parti dan yang paling keras menggesa pindaan Perlembagaan bagi menghalang wakil rakyat daripada mengubah sokongan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Zurk berkata, malangnya semua kata-kata mereka dahulu yang tidak lagi didengari sekarang dan semua diam membisu apabila enam wakil rakyat tersebut menguntungkan mereka.

Beliau menyatakan, suasana yang berbeza dapat dilihat apabila Ahli DUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis menyertai PAS sehingga Setiausaha Agung Umno pantas menyatakan implikasi yang akan ditanggung Jailani termasuk mengosongkan kerusinya supaya satu Pilihan Raya Kecil (PRK) dapat diadakan.

“Demikianlah PH-BN berhujah mengikut selera mereka tanpa menghormati prinsip dan semangat peruntukan Perlembagaan.

“Bukankah Umno berbangga dengan kemenangan yang mereka raih di Nenggiri hasil pembelotan yang dilakukan oleh bekas wakil rakyat Bersatu?

“Jadi, tidak perlu ragu untuk mengosongkan 6 kerusi Parlimen ini. Tidak perlu berdolak-dalih dalam menyatakan pendirian. Kembalikan hak kepada rakyat untuk memilih.

“Atau sebenarnya PH-BN sendiri takut untuk berhadapan dengan pilihan rakyat kerana segala senario ini dengan terang menampakkan sikap PH-BN yang sanggup mengabaikan prinsip demi kuasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/8/2024

- Advertisement -