Kedah raih RM15.26b pelaburan dalam tujuh bulan 2024

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kedah berjaya meraih sebanyak RM15.26 billion pelaburan dalam tempoh tujuh bulan pertama 2024, kata Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan.

- Advertisement -

Menerusi pelaburan itu maklumnya, Kedah mampu menawarkan 1,700 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang khususnya kepada anak-anak tempatan.

“Jumlah pelaburan itu mengatasi realisasi pelaburan sebanyak RM5.43 bilion yang dicatatkan untuk tempoh sama tahun lalu. Malah prestasi baik itu membuktikan keberkesanan Pelan Pembangunan Strategik Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

“Dalam masa yang sama NCIA yakin prestasi keseluruhan Kedah tahun ini akan berjaya melepasi pencapaian tahun 2023,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Pelaburan yang direalisasikan NCER merupakan kerjasama antara NCIA dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kerajaan Negeri Kedah.

“Sejak 2019, NCIA berjaya merealisasikan pelaburan kumulatif sebanyak RM34.8 bilion dan lebih 16,000 peluang pekerjaan diwujudkan dalam sektor pembuatan bernilai tinggi di negeri ini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.56 bilion telah disumbangkan oleh industri peranti perubatan dan lebih 1,600 peluang pekerjaan mahir dan separa mahir berjaya diwujudkan,” jelasnya lagi.

Katanya lagi, industri peranti perubatan merupakan elemen penting dalam sektor pembuatan bernilai tinggi yang telah berkembang maju di Kedah terutama di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan kawasan perindustrian di sekitar Sungai Petani.

Berikutan itu, beliau yakin Kedah mampu menjadi hab pembuatan peranti perubatan pilihan sama ada di peringkat tempatan mahupun global menerusi Pelan Pembangunan Strategik NCER, pada masa akan datang.

Terdahulu, prestasi pelaburan NCER bagi negeri itu diumumkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Justeru kata Haris, NCIA juga pada tahun ini telah memperkenalkan inisiatif FaCi@NCER yang bertujuan mempercepatkan proses merealisasikan pelaburan di NCER.

Iaitu jelasnya, dengan menghubungkan pelbagai pihak pemegang taruh dalam sebuah rantaian proses kelulusan yang komprehensif. – HARAKAHDAILY 28/8/2024

- Advertisement -