Filipina dakwa China ‘pengganggu keamanan’ di Asia Tenggara

Kapal pengawal pantai China di Beting Sabina. (FOTO: AFP)
- Advertisement -

MANILA: Filipina mendakwa negara China sebagai ‘pengganggu keamanan’ di Asia Tenggara, ketika ketegangan antara kedua negara itu mengenai tuntutan bertindih kawasan terumbu dan perairan di Laut China Selatan semakin memuncak.

Bercakap pada sesi persidangan Indo-Pasifik Amerika Syarikat, Ketua Pertahanan Filipina, Gilberto Teodoro berkata, konfrontasi berulang antara kapal Filipina dan China di kawasan itu berlaku sejak 12 bulan lalu, lapor CNA.

- Advertisement -

“China adalah pengganggu keamanan antarabangsa terbesar di rantau Asia Tenggara. 

“Kami memerlukan kata sepakat secara kolektif dan seruan yang kuat terhadap China. Kami sedang bergelut menentang musuh yang lebih kuat,” katanya.

Kenyataannya itu dikeluarkan sehari selepas China berkata ia mengambil ‘langkah kawalan’ terhadap dua kapal Pengawal Pantai Filipina yang telah memasuki perairan berhampiran Beting Sabina di Kepulauan Spratly.

Pengawal Pantai Filipina dilaporkan telah menghantar dua kapal berkenaan untuk misi menghantar bekalan kepada salah satu kapalnya di kawasan itu.

Walau bagaimanapun, mereka terpaksa membatalkan misi itu kerana penempatan kapal China yang ‘berlebihan’ dan keadaan laut yang bergelora.

China sebelum ini menuntut hampir keseluruhan kawasan di Laut China Selatan, dan menepis tuntutan oleh negara lain, termasuk Filipina, serta keputusan antarabangsa bahawa pendiriannya itu tidak mempunyai asas undang-undang.

Tuntutan China termasuk kawasan terumbu karang dan perairan di dalam Zon Ekonomi Eksklusif Filipina, yang menjangkau kira-kira 370 kilometer dari perairan pantai negara itu. – HARAKAHDAILY 28/8/2024

- Advertisement -