‘Apa indikator ekonomi Terengganu tak berkembang’

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Dapat banyak dana tapi ekonomi Terengganu tak berkembang.”

- Advertisement -

Demikian catatan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim menerusi laman Facebooknya.

Katanya, begitulah yang didengari jauh-jauh di hujung telinga suara daripada pembesar suara pada perhimpunan agung Umno.

“Acu hurai sikit, apa indikator ekonomi Terengganu tak berkembang,” katanya.

Beliau menjelaskan, PAS mengambil alih kerajaan negeri pada 2018 ketika prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sektor pertanian berada pada paras -2.5 peratus.

Katanya, KDNK sektor pertanian meningkat kepada 7.4 peratus pada tahun 2023.

“Peningkatan angka daripada -2.5 kepada 7.4 peratus apa kita nak istilahkan?

“Kalau tak berkembang mungkin kita boleh istilahkan ekonomi Terengganu melebar atau membesar atau memanjang atau menaik atau apa?” ujarnya lagi.

Pada 3 Julai lalu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menyatakan Terengganu mencatatkan KDNK sebanyak RM38.2 bilion pada tahun lepas.

Menurutnya, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 2.3 peratus berbanding RM37.4 bilion yang direkodkan pada 2022.

Katanya, daripada aspek komposisi ekonomi di Terengganu, sektor perkhidmatan mendominasi ekonomi pada 2023 dengan menyumbang 52 peratus daripada aktiviti ekonomi negeri.

Jelasnya, sektor pembuatan merupakan penyumbang kedua terbesar dengan 36.9 peratus; diikuti sektor pertanian 7.5 peratus; sektor pembinaan dan perlombongan serta pengkuarian masing-masing menyumbang tiga dan 0.5 peratus kepada keseluruhan komposisi ekonomi negeri ini.

Terengganu turut mencatatkan KDNK perkapita pada 2023 sebanyak RM31,111.

Sementara itu, dalam catatan yang lain, Dr Azman meneliti pembentangan Mr James daripada Fly Ocean Group berkaitan cadangan pelaburan dalam sektor pertanian di Terengganu. (Foto atas)

Jelasnya, Fly Ocean yang diasaskan di Sydney Australia pada 2007 terlibat dalam pembangunan pertanian dan penternakan sebagai antara fokus utama syarikat di samping beberapa cabang pelaburan lain.

Menurutnya, perbincangan awal semalam memberikan suatu gambaran yang menarik bagaimana penggunaan baja organik berasaskan tanah liat mampu menjadi solusi kepada masalah kesuburan tanah.

“Kerajaan negeri membuka pintu seluas-luasnya untuk perbincangan ini dilanjutkan lagi di peringkat teknikal supaya butir-butir penting dari cadangan projek dapat diperhalusi sebaiknya agar ia mampu menjadi realiti,” katanya yang juga ADUN Jabi. – HARAKAHDAILY 27/8/2024

- Advertisement -