‘Sesiapa kuasai wang, dia kuasai rakyat, benarkah?’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Budaya politik wang atau rasuah mesti diubah dan dihentikan kerana rasuah oleh pemimpin negara boleh menyebabkan pertumbuhan ekonomi terbantut.”

Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Zurk Ahmad berkata, budaya tersebut juga boleh menyebabkan pelabur asing hilang minat untuk meneruskan pelaburan, kos pentadbiran meningkat, rakyat ternafi daripada hak mendapat bantuan dan banyak salah guna kuasa yang merugikan negara akan terus berlaku.

“Akhirnya, politik di negara ini tidak akan matang dan stabil kerana amalan ini mengganggu perjalanan demokrasi, menyekat suara sebenar rakyat dan merugikan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

- Advertisement -

Dalam pada itu, Zurk berkata, terdapat teori yang menyatakan, sesiapa yang menguasai wang, dia menguasai rakyat.

“Adakah ini benar? Anda boleh nilai dan beri pendapat anda. Sebenarnya, banyak sebab berlakunya rasuah atau amalan politik wang terutama menjelang pilihan raya.

“Antaranya suka sama suka, didesak, takut diambil tindakan, pilih kasih, bersubahat, ambil kesempatan dan kononnya pelaburan.

“Politik wang dalam pilihan raya hari ini tidak berlaku secara sembunyi lagi, dibuat dengan lebih kreatif secara implisit,” jelas beliau.

Zurk Ahmad

Menurut Zurk, rasuah implisit berlaku bukan dengan pemberian wang tunai secara terus dan sogokan berlaku dengan cara menggunakan duit tunai, kuasa yang ada, penyaluran bantuan, projek dan janji-janji habuan sekiranya memberi undi.

Tambah beliau, pemimpin yang berkuasa di Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri akan mula mengumumkan sebarang bentuk bantuan atau projek yang boleh memancing undi.

Parti yang menguasai kerajaan, ujar Zurk lagi, akan mendapat kelebihan kerana salah guna kuasa ini. 

Beliau menyatakan, pilihan raya adalah proses memilih parti bertanding, maka tidak boleh ada campur tangan kerajaan yang akan mengelirukan rakyat. 

“Jika tiada projek sebelum ini, tiba-tiba projek boleh diwujudkan sewaktu pilihan raya. Jika ada masalah lama di kawasan bertanding, tiba-tiba baru diselesaikan hanya ketika pilihan raya.

“Jika tiada program, tiba-tiba program baru julung kali dianjurkan dan diselitkan slot penyerahan ‘bantuan’ berupa skim, intensif dan sebagainya menggunakan agensi kerajaan. 

“Ada sebahagian rakyat mungkin tidak tahu bahawa tindakan tersebut salah dan menerima bahawa itu adalah amalan sedia ada yang boleh dibuat,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/8/2024

- Advertisement -