Iman, amal soleh syarat masuk syurga

- Advertisement -

YANG boleh menyelamatkan kita dan memasukkan kita ke dalam syurga ialah yang pertamanya, kita harus beriman. Beriman dengan bahasa mudahnya ialah kita masuk Islam dan menerima Islam.

Yang kedua, kita haruslah melakukan amal yang soleh. Jadi, iman dan amal soleh merupakan syarat yang utama untuk membolehkan kita masuk ke dalam syurga.

Tidak boleh beriman sahaja tanpa melakukan amal yang soleh. Ataupun melakukan amal yang soleh sahaja tetapi tidak beriman contohnya orang kafir yang menolong orang yang susah, menderma, memberi bantuan, memberi sumbangan dan sebagainya.

- Advertisement -

Oleh sebab tiada iman, maka tidak cukup syarat untuk dia masuk ke dalam syurga. Kita alhamdulillah, Allah telah memberikan iman, maka yang pentingnya ialah kita menambah amal kebaikan. Amal soleh ini luas konsepnya. Yang asasnya ialah solat fardhu dan puasa.

Selain itu, ada banyak perkara lain lagi termasuk dalam kategori amal soleh contohnya berbakti kepada ibu bapa, si suami menjaga isterinya dengan baik, si isteri pula melayani dan menjaga suaminya dengan baik, menjaga dan memberi didikan yang baik kepada anak, si anak pula tidak derhaka kepada ibu bapanya, buat baik dengan jiran, sahabat dan masyarakat serta memuliakan tetamu.

Dalam hadis yang biasa kita dengar, Nabi menyebut maksudnya, “Tidak beriman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Rujuk Riwayat Imam Bukhari: 13). Dalam hadis lain, Nabi kata, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya.” (Rujuk Riwayat Imam Bukhari: 6018).

Maksud memuliakan tetamu dalam bahasa mudahnya ialah melayaninya dengan baik. Bukan duduk tengok televisyen atau sembang begitu sahaja dengannya. Hadaplah dia dengan molek. Kalau perlu menjamunya makan, kita jamu. Kalau ada perkara yang dia hendak kata, kita dengar dengan molek.

Nabi menyebut dalam hadis lain, “Tidak beriman seseorang itu kalau jiran dia tidak selamat daripada kejahatan dirinya.” (Rujuk Riwayat Imam Bukhari: 6016). Ada orang yang bagus, menjaga solat tetapi mulutnya berkata buruk dan kasar terhadap jiran, menghina jiran, membuang sampah dalam pagar jiran, menendang pasu bunga jiran, membuat bising atau mengganggu waktu rehatnya.

Dalam huraian Imam Ghazali, antara adab dengan jiran ialah jangan membina rumah yang lebih besar daripada rumahnya sehingga angin tidak dapat memasuki rumahnya. Binalah rumah yang bersesuaian dengan persekitaran.

Sekiranya kita ada lebihan barang yang kita beli, eloklah kita menyembunyikan barang yang mana jiran kita tidak mampu untuk membelinya. Sembunyikanlah daripada pandangan anak-anaknya. Kalau boleh, bawalah balik pada waktu malam. Sampai tahap itu huraian ulama mengenai berbuat kebaikan kepada jiran ini.

‎وَلَـٰكِنَّ ٱلْبِرَّ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ وَٱلْكِتَـٰبِ وَٱلنَّبِيِّـۧنَ وَءَاتَى ٱلْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ ذَوِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينَ وَٱبْنَ ٱلسَّبِيلِ
Maksudnya, “Kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi, dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan.” (Surah Al-Baqarah: 177)

Memberi bantuan kepada orang yang susah dan menolong orang yang memerlukan termasuk dalam perkara ‘al-birr’. ‘Al-birr’ ialah amal soleh kita. Termasuklah menyelesaikan masalah orang lain.

Peluang untuk kita mengambil pahala sebenarnya luas dan banyak. Cuma kadang-kadang kita tidak memahami dan mengetahui cara Allah nak memberi peluang itu kepada kita. Bercakap lemah-lembut dan tidak menyakiti hati orang lain dan mendamaikan orang yang berbalah dengan memberi nasihat kepada mereka juga termasuk dalam amal soleh.

Dalam satu hadis yang masyhur (Rujuk Riwayat Imam Muslim: 35):

الإيمانُ بضعٌ وسبعون شعبةً ، أعلاها قولُ لا إله إلا اللهُ ، وأدناها إماطةُ الأذى عن الطريقِ
Ada 70 lebih pecahan iman. ‘Bid’un’ merupakan bilangan yang ganjil. Mungkin 73 atau 75 atau 79. Itulah amal soleh. Yang paling tinggi ialah ucapan lailaha illallah. Iman kita pada syahadah adalah yang tertinggi. Yang paling rendah ialah membuang benda-benda yang mengganggu di atas jalan.

Contohnya, kita menggergaji atau mengalihkan pokok kayu yang tumbang supaya tidak mengganggu orang lain, membuang kaca atau duri di atas jalan supaya tidak dipijak oleh orang lain atau memimpin orang buta yang tidak mampu nak melintas jalan adalah termasuk dalam amal soleh.

Sekiranya kita memahami konsep amal soleh ini, maka setiap masa kita boleh mengutip pahala. Ganjaran yang Allah akan berikan ialah syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Ada persoalan timbul, mengapa setiap kali sebut syurga, mesti sebut juga sungai?

Kata sesetengah ulama, orang Arab memang sangat menginginkan air kerana air di tempatnya sangat sukar untuk diperolehi. Bagi mereka, walaupun air setakat paras betis, itu adalah sungai. Jadi, syurga yang dipenuhi dengan sungai yang Allah sediakan menjadi suatu tarikan istimewa kepadanya. – HARAKAHDAILY 19/8/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -