
SHAMIR: Kumpulan Penentangan Islam Lubnan, Hizbullah mengumumkan pada Khamis perluasan operasi ketenteraannya dengan menyasarkan penempatan Shamir di utara Palestin yang diduduki Zionis Israel.
Ini menandakan kali pertama Hizbullah menyerang penempatan itu, dan operasi itu dilakukan menggunakan roket ‘Katyusha.’
Hizbullah dalam kenyataannnya berkata, serangan terbaharunya itu adalah tindak balas langsung terhadap serangan Israel baru-baru ini ke atas kampung di selatan Lubnan dan kediaman awam, terutamanya ke atas Marjayoun yang mencederakan orang awam, selain untuk menyokong penduduk di Semenanjung Gaza dan pasukan penentangnya, Hamas, lapor Al Mayadeen.
Berikutan serangan di Shamir, Hizbullah melancarkan serangan roket selanjutnya terhadap kedudukan artileri Israel di Zaorah.
Dalam dua operasi berasingan, Hizbullah menyasarkan wilayah Lubnan yang diduduki Zionis Israel di Marj dan Rweisat al-Alam di Bukit Kfar Chouba, menggunakan senjata yang sesuai dan mencapai serangan langsung dalam kedua-dua operasi berkenaan.
Selain itu, tapak Maayan Baruch telah terkena peluru meriam, dan kedudukan di mana tentera Israel ditempatkan di Malikiyah disasarkan dengan senjata yang sesuai, mengakibatkan serangan langsung.
Hizbullah turut melakukan serangan udara menggunakan segerombolan dron ‘Kamikaze’ di tapak tentera Israel Khirbet Maar, berhampiran dengan sempadan Palestin yang didudukinya. Dron itu tepat mengenai kedudukan yang diduduki oleh pegawai dan tentera Israel.
Dalam pada itu, serangan roket telah dilancarkan ke arah sasaran tentera di Bukit Golan yang diduduki Israel tanpa mencetuskan siren amaran.
Tujuh pasukan pemadam kebakaran dari balai bomba al-Jalil-Golan kemudiannya memadamkan kebakaran berhampiran penempatan Shamir di Upper Galilee, utara Palestin yang didudukinya.
Kebakaran dilaporkan bermula berikutan beberapa siri pelancaran roket dari Lubnan dan operasi pemintasan yang dilaksanakan.
Keadaan di lapangan masih tegang apabila laporan mengesahkan bahawa kebakaran berhampiran Shamir bertepatan dengan beberapa operasi yang dijalankan oleh Kumpulan Penentangan Islam di Lubnan, dengan roket dilancarkan dari Lubnan ke arah wilayah yang diduduki Israel. – HARAKAHDAILY 16/8/2024




















