
SEMENANJUNG GAZA: Angka kematian akibat serangan genosid Zionis Israel di Semenanjung Gaza secara rasmi telah melepasi 40,000, sedangkan rundingan mengenai perjanjian gencatan senjata dilaporkan masih dalam peringkat ‘sedang dijalankan’ di Doha, Qatar.
Sumber pegawai kesihatan di Gaza berkata, sekurang-kurangnya 40 terbunuh dalam serangan semalaman pada Khamis (15 Ogos), menjadikan jumlah kematian rasmi mencecah 40,005, manakala 92,401 yang lain telah cedera sejak serangan Israel pada 7 Oktober 2023.
Israel terus menggempur Semenanjung Gaza pada Khamis, membunuh beberapa orang di Kota Gaza dan Bani Suhaila, manakala pengawasan dan serangan dron dilihat berlegar di langit Kota Gaza dan Khan Younis.
Persidangan gencatan senjata Doha yang akan dihadiri oleh pegawai dari Mesir, Amerika Syarikat, dan Israel digambarkan sebagai ‘sidang kemuncak peluang terakhir’ bagi gencatan senjata di Semenanjung Gaza yang menjadikan orang awam sebagai mangsa.
Tokoh kanan Hamas memberitahu laman web The New Arab dalam bahasa Arab, Al-Araby Al-Jadeed, Hamas tidak akan mengambil bahagian dalam rundingan itu, namun mendesak untuk kembali kepada pelan gencatan senjata yang disokong Presiden AS, Joe Biden, yang pada mulanya dikeluarkan pada Mei 2024, yang dilaporkan telah dimasukkan tuntutan tambahan oleh Israel .
Qatar telah mengumumkan bahawa rundingan bertujuan menamatkan perang di Gaza akan diteruskan pada hari ini, Jumaat (16 Ogos).
Dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Qatar News Agency, Menteri Luar Qatar, Dr. Majed bin Mohammed Al-Ansari berkata, pengantara dari Mesir, Qatar dan AS ‘tegas dalam komitmen mereka untuk bergerak ke hadapan dalam usaha mereka mencapai gencatan senjata di Semenanjung Gaza yang akan memudahkan pembebasan tebusan dan membolehkan kemasukan sebanyak mungkin bantuan kemanusiaan ke Gaza’.
Selain itu, kenyataan itu mengatakan bahawa ia meminta gencatan senjata berdasarkan prinsip yang ditetapkan oleh Presiden Biden pada 31 Mei 2024. -Agensi/– HARAKAHDAILY 16/8/2024




















