
KUALA LUMPUR: Polis menahan dan menangkap seorang lelaki warga tempatan dipercayai terlibat dalam kes dadah di kawasan Kerling, Hulu Selangor ketika menjalankan tugas Ronda Cegah Jenayah lebih kurang jam 1 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Ahmad Faizal Tahrim, berkata hasil pemeriksaan yang telah dijalankan oleh pihak polis telah menjumpai dan merampas satu botol plastik lutsinar yang berisi cecair yang disyaki air ketum.
“Berikutan kejayaan ini, pihak Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Ahmad Faizal memohon dan menggesa orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan dadah, jenayah dan sebarang aktiviti yang mencurigakan ke Pusat Kawalan Daerah, balai berdekatan atau ‘Facebook Messenger’ Polis Dearah Hulu Selangor.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) Hulu Selangor akan mengambil tindakan segera keatas setiap maklumat serta aduan yang diterima tanpa sebarang kompromi serta prejudis.
“Kerjasama daripada masyarakat amat dialu-alukan bagi mengekalkan persekitaran yang kondusif serta selamat selaras dengan moto pasukan PDRM iaitu ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/8/2024




















