Warga Korea Utara berpaling tadah ke Korea Selatan

Seorang anggota marin Korea Selatan meronda pantai di Pulau Yeonpyeong, berhampiran sempadan laut Garisan Had Utara dengan Korea Utara pada Januari 2024. (FOTO: Newsweek)
- Advertisement -

SEOUL: Seorang warga Korea Utara telah membelot dan berpaling tadah ke Korea Selatan dengan cara merentasi Garisan Had Utara di Laut Kuning.

Pembelotan terbaharu itu berlaku ketika hubungan antara Korea Utara dan Korea Selatan berada pada satu titik terendah dalam beberapa tahun, dengan Korea Utara meningkatkan ujian senjata dan ‘mengebom’ jirannya di selatan itu dengan belon yang dipenuhi sampah, lapor AFP.

- Advertisement -

Ketua Staf Bersama Korea Selatan memaklumkan bahawa pihak tentera telah mendapatkan individu yang tidak dikenali itu yang dianggap berasal dari Korea Utara, dan telah menyerahkannya kepada pihak berkuasa yang berkaitan, katanya menerusi satu kenyataan.

Butiran perjalanan individu berkenaan sedang disiasat, sambil menambah bahawa tiada ‘pergerakan luar biasa’ oleh tentera Korea Utara telah diperhatikan.

Pembelotan terakhir yang merentasi Garisan Had Utara di Laut Kuning adalah pada Mei 2023, apabila sembilan sekeluarga membuat perjalanan menaiki bot kayu.

Kebanyakan pembelot sebelum ini pergi ke daratan negara jiran seperti China terlebih dahulu, kemudian memasuki negara ketiga seperti Thailand sebelum akhirnya berjaya ke Selatan.

Jumlah yang berjaya berpaling tadah ke Selatan bagaimanapun menurun dengan ketara dari tahun 2020 selepas Korea Utara mengetatkan kawalan sempadannya, dengan cara ‘tembak dengan arahan’ di sepanjang sempadan daratnya dengan China untuk mencegah penularan Covid-19.

Walau bagaimanapun, bilangan pembelot yang berjaya ke Korea Selatan meningkat hampir tiga kali ganda tahun lalu kepada 196 orang, dengan lebih ramai diplomat dan pelajar elit berusaha untuk melarikan diri, meningkat daripada 67 orang pada 2022.

Pembahagian semenanjung Korea kepada Utara dan Selatan selepas perang dunia kedua telah menyebabkan puluhan ribu warga Korea Utara cuba memasuki Korea Selatan bagi mendapatkan kehidupan yang lebih baik. -Agensi/– HARAKAHDAILY 8/8/2024

- Advertisement -