
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di kawasan Johor sehingga 2 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, antara kawasan yang terlibat di Johor adalah Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
“Amaran dikeluarkan sekiranya terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter per jam yang berlaku selama hampir atau melebihi satu jam.
“Amaran ribut petir merupakan peringatan jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya menerusi satu kenyataan di media sosial, hari ini.
Dalam kenyataan yang berasingan di laman sesawang berikut, MetMalaysia berkata, bagi Seksyen A iaitu perairan, amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan sembilan negeri sehingga 1 tengah hari ini.
“Antara kawasan perairan yang terlibat adalah di Perlis, Kedah Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan,” ujarnya.
Sementara, bagi Seksyen B iaitu perkapalan, amaran yang sama seperti di Seksyen A di kawasan perairan Phuket, Selat Melaka, selatan Tioman, Bunguran dan Sulu sehingga 1 tengah hari ini juga.
“Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam (km/j) dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (m) dan berbahaya kepada bot-bot kecil,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/8/2024




















