
NAGASAKI: Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida membatalkan lawatan empat hari ke Asia tengah untuk sidang kemuncak di Kazakhstan, selepas agensi cuaca memberi amaran bahawa risiko potensi gempa bumi besar di kawasan luas Pasifik yang terbentang dari barat daya ke tengah Jepun telah meningkat.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) semalam (8 Ogos) telah mengeluarkan amaran pertamanya untuk kawasan sekitar Palung Nankai beberapa jam selepas gempa bumi berukuran 7.1 magnitud melanda barat daya negara itu pada Khamis, lapor Nikkei Asia.
Bercakap pada sidang akhbar selepas menghadiri upacara damai yang menandakan ulang tahun ke-79 pengeboman atom oleh Amerika Syarikat, Kishida memaklumkan beliau membatalkan lawatan itu untuk memberi tumpuan kepada tindak balas kerajaan dan penyebaran maklumat berhubung potensi gempa bumi yang lebih teruk.
“Sebagai pegawai tertinggi yang bertanggungjawab dalam pengurusan krisis negara, sebagai langkah berjaga-jaga tambahan, saya harus tinggal di Jepun sekurang-kurangnya selama kira-kira seminggu, sementara agensi cuaca menyeru orang ramai untuk bersedia menghadapi senario sedemikian,” katanya.
Beliau dalam pada itu menambah bahawa orang ramai pasti berasa sangat cemas selepas JMA mengeluarkan amaran pertamanya di bawah sistem baharu yang dirangka berikutan gempa bumi besar 9.0 magnitud pada 2011 yang mencetuskan tsunami dan bencana nuklear.
Gempa bumi yang berlaku pada semalam, Khamis (8 Ogos) telah menyebabkan beberapa individu mengalami kecederaan dan kerosakan pada bangunan di Miyazaki dan dua wilayah yang lain, namun tiada kematian dilaporkan setakat ini.
Terletak di atas empat plat tektonik utama, kepulauan Jepun yang mempunyai 125 juta penduduk menyaksikan kira-kira 1,500 gempa bumi setiap tahun, kebanyakannya kecil.
Walaupun dengan gegaran yang lebih besar, kesannya secara am dapat dikawal hasil daripada teknik pembinaan bangunan yang canggih dan prosedur kecemasan yang diamalkan dengan baik. -Agensi/– HARAKAHDAILY 9/8/2024




















