Serangan buli siber terhadap atlet makin ganas

Lee Zii Jia antara atlet sukan negara yang paling teruk diserang oleh pembuli siber.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes siber buli menunjukkan bahawa budaya negatif itu sudah mula merebak dengan ganasnya dan kian menjadi barah dalam kalangan rakyat Malaysia, dengan golongan atlet turut menjadi mangsa.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hanif Jamaluddin berkata, ‘barah’ berkenaan perlu disekat dengan segera.

“Ini kerana ia boleh memberi kesan kepada tekanan mental terhadap atlet-atlet negara yang akhirnya menghancurkan prestasi dan momentum mereka semasa kejohanan berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan.

- Advertisement -


Menurutnya, kes peningkatan buli siber yang dicatatkan sejak kebelakangan ini amat merisaukan. 

“Pada tahun 2021, hanya 326 kes buli siber direkodkan, namun ia meningkat kepada 3,887 kes pada tahun 2022 dan angka tersebut terus meningkat kepada 4,994 antara Januari hingga Oktober tahun lepas (2023).

“Kes seorang pempengaruh, Rajeswary Appahu yang telah membunuh diri akibat gejala buli siber merupakan kemuncak bahawa gejala buli siber itu semakin membarah dan mampu memberi kesan yang sangat negatif terhadap mental dan emosi seseorang,” kata beliau.

Dalam pada itu, ujar Hanif, kejayaan atlet badminton, Lee Zii Jia bagi kategori lelaki perseorangan yang berjaya merangkul pingat gangsa buat kontinjen negara di Sukan Olimpik Paris 2024 amat membanggakan rakyat Malaysia.

Hanif Jamaluddin

“Namun begitu, di sebalik kejayaan yang dicapai oleh beliau, terselitnya segala kesulitan dan kesusahan yang beliau lalui sepanjang berada dalam arena sukan badminton ini.

“Sudah pastinya kesusahan yang beliau lalui itu tidak mampu digambarkan dan diceritakan kepada umum.

“Dalam temu ramah bersama dengan seorang wartawan Astro Arena, beliau telah meluahkan kesedihan dan kekecewaan beliau terhadap media-media dan komen di media sosial yang telah mencemuh prestasi beliau sebagai seorang atlet badminton negara,” jelas Hanif.

Malah, Zii Jia mengakui menangis dan menjadi mangsa buli selepas menghadapi tekanan hebat dari media dan kritikan awam, selepas meninggalkan pasukan kebangsaan pada tahun 2022 untuk menjadi pemain bebas

Dalam wawancara emosional selepas memenangi pingat gangsa di Olimpik Paris 2024 itu, beliau telah menceritakan kesukarannya menghadapi tuduhan dan kritikan. 

Namun, beliau menyatakan bahawa dirinya tetap diam walaupun dihina dan berusaha untuk membuktikan kemampuannya melalui prestasi di gelanggang.

“Saya bergelut dengan prestasi saya, ranking saya jatuh, dan saya tidak pernah terfikir boleh mewakili Malaysia untuk Sukan Olimpik Paris 2024.

“Tetapi, saya tidak pernah berputus asa dan saya mendapat Pingat Gangsa, walaupun matlamat awal saya adalah untuk mendapatkan pingat Emas,” luah Zii Jia dalam temu ramah berkenaan.

Sehubungan itu, Hanif berkata, Zii Jia bukan satu-satunya atlet negara yang mangsa buli siber, malah atlet-atlet lain juga termasuk pelari pecut negara, Azeem Fahmi, dan pelumba basikal trek terkenal tanah air, Datuk Azizulhasni Awang.

“Atlet-atlet berkenaan sering diserang dengan  komen-komen negatif daripada netizen yang mencemuh prestasi mereka dalam beberapa kejohanan. 

“Realitinya, golongan atlet negara antara golongan berisiko menjadi mangsa ‘kerakusan’ pembuli siber di media sosial apabila gagal mencapai ekspektasi peminat dan penyokong. 

“Terutamanya apabila mereka kalah dalam kejohanan-kejohanan besar dan berprestij,” katanya.

Justeru, Hanif berpandangan bahawa suatu langkah yang signifikan perlu dilakukan oleh kerajaan.

“Bagi mengatasi gejala buli siber yang semakin membarah ini, ia memerlukan kepada  pindaan Rang Undang-undang (RUU) buli siber agar sesuai dengan keperluan semasa dan mampu memberi keadilan kepada mangsa-mangsa,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/8/2024

- Advertisement -