
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT) meluahkan rasa kesal dan kecewa ke atas sekatan hak royalti petroleum yang sepatutnya menjadi milik rakyat Terengganu.
Ketua DMPNT, To’ Puan Zarani Othman berkata, royalti petroleum ini bukan sahaja hak yang sah berdasarkan perjanjian antara Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS sejak tahun 1975, tetapi juga sumber penting untuk pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, Kerajaan Madani yang ada sekarang dilihat telah mengambil langkah-langkah menyusahkan rakyat Terengganu dengan menyekat pembayaran royalti petroleum yang sepatutnya diberikan.
“Alasan yang diberikan oleh kerajaan Pusat, termasuk tuduhan pengurusan kewangan negeri yang tidak cekap dan masalah kemiskinan adalah tidak berasas dan tidak adil,” katanya.
Tambah beliau lagi, tuduhan ini secara tidak langsung menafikan pengiktirafan yang telah diterima oleh Kerajaan Negeri Terengganu dalam pengurusan kewangan, termasuk Sijil Ketua Audit Negara ‘Pendapat Tanpa Teguran’ bagi lima tahun berturut-turut (2018-2022) dan kedudukan teratas dalam Indeks Terbuka Belanjawan Malaysia (MyOBI) 2022 dan 2024.
Oleh itu, sekatan ini bukan sahaja menjejaskan kewangan negeri, malah menjejaskan pelbagai projek pembangunan yang dirancang untuk kepentingan rakyat.
Zarani turut berkata, penyaluran wang secara terus kepada kontraktor tanpa melalui kerajaan Negeri adalah satu tindakan yang mengesampingkan kuasa kerajaan Negeri dan menimbulkan pelbagai masalah dalam pelaksanaan projek.
DMPNT menyeru kerajaan Pusat segera menghentikan sekatan ini dan menunaikan tanggungjawab mereka untuk membayar royalti petroleum secara tunai kepada Kerajaan Negeri Terengganu, termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian 1975.
“Kami menuntut keadilan untuk rakyat Terengganu yang telah dinafikan hak mereka kali ini.
“Sekatan royalti petroleum ini adalah satu bentuk penindasan terhadap rakyat Terengganu yang memilih pemimpin bukan dari kalangan mereka,” ujarnya lagi.
Beliau turut menyeru agar semua petugas muslimat hadir ke setiap program Jelajah Suara Rakyat yang diadakan di peringkat DUN dan kawasan masing-masing serta menyokong aktiviti yang dijalankan.
“Marilah kita terus berjuang dan berdoa agar hak rakyat Terengganu dikembalikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/8/2024




















