
KUALA LUMPUR: Kenyataan yang dikeluarkan Pengarah Pilihan Raya Umno Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyatakan DAP tidak diperlukan di PRK DUN Nenggiri itu menimbulkan syak dan keraguan.
Menambahkan suhu ‘panas’ PRK Nenggiri adalah Malaysiakini pada hari ini (6 Ogos) melaporkan, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke membidas Presiden Gerakan, Dominic Lau sebagai ‘muka tebal’
Beliau berkata demikian mengulas mengenai pandangan Umno bahawa tidak ada keperluan untuk bantuan DAP dalam kempen PRK Nenggiri yang sedang berlangsung kerana terdapat sangat sedikit pengundi Cina.
Namun, apa yang menimbulkan pertanyaan Anthony Loke kemudian secara tiba-tiba mengaitkan nama Dominic Lau dengan berkata, “Saya dah cakap kita memang ada semangat muafakat. Kalau ada jemputan kita pergilah. Tapi kalau tak ada keperluan kita tak pergilah.
“Sebab ada pandangan mungkin kita tak diperlukan. Jadi, saya punya muka besar tapi tak tebal macam Dominic Lau.”
Sehubungan itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, Umno dilihat bersungguh-sungguh mahu menjauhkan diri daripada DAP di Nenggiri sedangkan kedua-dua parti itu membentuk kerajaan campuran di peringkat Persekutuan.
“Kalau dah nama campuran, kalau dah rakan kongsi dalam satu kerajaan, tak kiralah kawasan itu majoriti Melayu atau apa, bukankah namanya pun kawan.
“Turunlah bagi menampakkan kesepaduan, mengapa perlu disorok-sorok seolah orang Gua Musang tak tahu yang DAP dan Umno dah bersepakat,” tegas beliau dalam satu kenyataan, pada hari ini.
Roslan juga mempersoalkan kenyataan Anthony Loke Umno bahawa ‘tidak ada keperluan untuk bantuan DAP dalam kempen PRK Nenggiri yang sedang berlangsung kerana terdapat sangat sedikit pengundi Cina’ dengan berkata, “Bukankah DAP parti berbilang kaum, kenapa rujuk yang Cina sahaja?”
Tambah beliau, apa yang pelik adalah beberapa hari sebelum Ku Li mengeluarkan kenyataan itu Pengerusi DAP Kelantan, Azaha Abd Rani terlebih dahulu dilaporkan berkata bahawa ‘DAP akan mengerahkan jenteranya turun berkempen membantu calon Barisan Nasional (BN) pada PRK Nenggiri’.
“Menurut Azaha, DAP akan fokus di kawasan Orang Asli sementara Umno, PKR dan PAN di kawasan Melayu.
“Kata Azaha, DAP akan menumpukan usaha berkempen di lima kawasan Orang Asli, iaitu di Tohoi, Sungai Puian, Sungai Jenera, Sungai Wias dan Pos Simpor.
“Menurut Azaha lagi, pucuk pimpinan utama DAP juga akan turun berkempen untuk PRK 17 Ogos itu, namun senarai tokoh yang terlibat belum diputuskan,” jelas Roslan.
Tambahnya, beliau melihat tindakan berkenaan terpaksa dilakukan Umno kerana cemas dengan kehadiran DAP yang akan merugikan Umno.
Pengundi Melayu di PRK Kuala Terengganu, Kemaman dan Sungai Bakap menurutnya terbukti mengundi PN kerana tidak dapat menerima kehadiran DAP yang berkerjasama dengan Umno.
“Umno tidak mahu mengambil risiko kalah dalam PRK ini, lalu keputusan diambil untuk menutup pintu buat DAP di Nenggiri.
“Semoga segala kemarahan orang Melayu pada Umno kerana bekerjasama dengan DAP akan berjaya disembunyikan.
“Mungkin Umno menganggap tanpa kelibat DAP di sini, pengundi Nenggiri tidak akan menghukum mereka kerana sanggup bekerjasama dengan DAP yang dulu mereka label sebagai rasis, ektremis dan pelbagai lagi yang buruk-buruk,” katanya.
“Sampai hati Umno merendah-rendahkan taraf pemikiran dan kematangan para pegundi di Nenggiri,” tambah beliau.
Sementara itu katanya, di pihak Perikatan Nasional (PN), tiada masalah pimpinan dengan Gerakan khususnya yang berketurunan Cina untuk turun padang ke Nenggiri.
“Petugas PAS dari Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dari kalangan masyarakat India dan Cina juga turun padang ke Nenggiri untuk membantu.
“Tak perlu sembunyi-sembunyi atau bermuka-muka.
“Saya yakin pengundi Nenggiri sudah dapat menghidu muslihat Umno ini,” tegasnya lagi.
Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen ke 15 di Gua Musang dan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 di Nenggiri, ujar Roslan, penduduk di sana telah menolak Umno dan mengundi calon PN kerana mereka yakin dengan politik penyatuan ummah yang dibawa PN.
“Mereka tolak Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN) dan DAP. Tak ada sebab mereka perlu tukar dan memangkah BN semata-mata kerana DAP tidak turun kali ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/8/2024




















