Kes Allahyarham Zulfarhan: Adakah hujah SUHAKAM boleh diterima?

Muhammad Fathi Yusof
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Adakah hujah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) boleh diterima? Untuk menjawab, kita kembali kepada hakikat fitrah manusia. Yang paling memahami fitrah manusia ialah Allah Yang Maha Mengetahui.”

Itu persoalan yang diutarakan Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof sebagai respons terhadap tindakan SUHAKAM  yang membantah hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan atas kesalahan membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.

- Advertisement -

Keenam-enam pesalah itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri, dan Abdoul Hakeem Mohd Ali yang kesemuanya kini berusia 28 tahun.

Menurut Muhammad Fathi, dalam Islam ada hukuman mati untuk kesalahan membunuh disebut qisas. 

“Bezanya pelaksanaan qisas ada peraturan pembuktian dan prosedur yang sedikit berbeza. Misalnya bila didapati bersalah, hakim menyerahkan hak kepada keluarga mangsa untuk memilih samada pesalah dikenakan hukuman mati, membayar diyat atau dimaafkan.

“Jadi hukuman mati tetap relevan. Tak perlulah kita berkiblatkan prinsip hak asasi Barat dalam menentukan haluan perundangan kita. 

“Kita ada rujukan sendiri. Harap SUHAKAM membetulkan kompas pendiriannya,” katanya dalam satu kenyataaan.

Tambah beliau, dalam al-Quran ada menyebut, mafhumnya ‘dalam hukuman qisas itu ada kehidupan’. 

“Antara maksudnya, jika hukuman qisas ditegakkan, manusia akan gerun untuk membunuh dan mewujudkan keamanan,” ujar beliau dalam media sosial miliknya.

Muhammad Fathi yang juga Felo Penyelidik (Undang-Undang) Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia justeru, berharap suatu hari nanti negara dapat melaksanakan sepenuhnya prinsip qisas dan elemen undang-undang jenayah Islam.

Terdahulu, semalam, SUHAKAM dilaporkan  tidak bersetuju hukuman tersebut yang dijatuhkan kepada enam-enam bekas UPNM sabit kesalahan membunuh Zulfarhan.

SUHAKAM berpandangan bahawa hukuman mati bukan penyelesaian adil atau berkesan dan meminta kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan hukuman mati dan berusaha ke arah sistem keadilan lebih saksama serta berperikemanusiaan untuk semua.

Hujah SUHAKAM adalah hukuman yang tidak boleh diubah dan tidak memungkinkan berlaku pemulihan sekiranya ada kesilapan kehakiman, serta bertentangan dengan gerakan global ke arah pemansuhan hukuman mati.

“Yang diakui banyak negara sebagai tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi manusia,” kata SUHAKAM menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan itu menandakan detik menyedihkan dan penting dalam sejarah kehakiman Malaysia.

Menurut SUHAKAM juga, dalam konteks ini, penting untuk menekankan aspek pemulihan kerana cara itu boleh membawa perubahan kepada pesalah menjadi masyarakat yang lebih bertanggungjawab.

“Pendekatan ini bukan sahaja menangani punca kelakuan ganas terbabit tetapi juga membantu mencegah kejadian sama pada masa depan dengan menggalakkan persefahaman, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pesalah.

“Komitmen kami terhadap hak asasi manusia memberi mandat buat kami menyokong pemansuhan hukuman mati,”  kata kenyataan SUHAKAM itu. – HARAKAHDAILY 26/7/2024

- Advertisement -