
WASHINGTON: Penunjuk perasaan pro-Palestin telah berkumpul di luar Hotel Watergate di sini, pada hari ini, Selasa (23 Julai) lokasi penginapan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum individu yang digelar ‘pengganas genosid Gaza’ itu dijadualkan berucap di Kongres Amerika Syarikat pada esok, Rabu (24 Julai).
Mereka dilihat membawa sepanduk bertulis: ‘Tangkap Netanyahu’ dan ‘Seorang penjenayah perang ada di sini’ merujuk kepada Netanyahu yang yang bertanggungjawab atas kematian berpuluh-puluh orang awam Palestin yang tidak bersalah di Semenanjung Gaza. lapor AFP.
Sehubungan itu, satu lagi protes besar-besaran dirancang diadakan pada Rabu ketika Netanyahu berucap di Kongres di tengah-tengah pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza yang terkepung dengan angka kematian penduduk awam di situ kini mencecah 39,561 perang meletus sejak 7 Oktober 2023.
Netanyahu berada di sini untuk bercakap dengan ahli Kongres selepas jemputan daripada pemimpin tertinggi Dewan Grand Old Party (GOP), dan juga merancang untuk mengadakan perbincangan dengan Presiden, Joe Biden dan Naib Presiden, Kamala Harris.
Tarikh lawatannya, hanya sehari selepas Biden mengumumkan akan keluar daripada pilihan raya presiden AS, menyediakan tempoh yang mengelirukan dan mencabar, menurut pemerhati politik, memandangkan Harris yang telah disahkan oleh Biden sebagai calon presiden Demokrat akan menentukan perhubungan masa depan Israel-AS.
“Ini menjadikan tugasan Netanyahu sedikit lebih mengelirukan kerana dia tidak mengenali Kamala Harris seperti mana dia mengenali Joe Biden,” kata Profesor Sains Politik Universiti George Mason, Jeremy Mayer, lapor Wusa9.com.
Netanyahu sebelum ini telah dituduh sengaja memanjangkan tempoh perang Hamas-Isreel di Gaza untuk kepentingan peribadinya, tetapi itu dilihat boleh merugikan kerajaannya.
Dengan fokus kini tertumpu pada Harris, seorang penunjuk perasaan Hazami Barmada, tambah laporan Wusa9.com telah mempersoal pemilihannya sebagai calon presiden menggantikan Biden.
Ini kerana walaupun siapa yang dipilih, Barmada percaya perbincangan mengenai gencatan senjata telah berakhir.
“Saya tidak tahu banyak isu tentang dia (Kamala Harris), jadi saya tidak tahu apa yang boleh dijangka daripada dia.
“Apa yang penting ialah kita perlu bercakap tentang perubahan lengkap dalam hubungan Amerika Syarikat dengan Israel.
“Terdapat protes yang dirancang di luar Capitol dan di National Mall, di Washington pada hari Rabu,” katanya. -Agensi/– HARAKAHDAILY 23/7/2024




















