‘Demokrasi di bawah Kerajaan Madani sudah mati’

Razali Idris
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris menyifatkan demokrasi di bawah kerajaan Madani hari ini sebagai sudah mati.

- Advertisement -

“Kalau sampai tak boleh bersuara dalam Parlimen, di mana suara rakyat yang hendak bersuara lagi?

“Seolah-olah tiada tempat untuk bersuara untuk menegakkan kebenaran, membetulkan apa yang perlu diperbetulkan, menegur kerana sayang-sayangkan tetapi di bawah kerajaan Madani ini, demokrasi sudah mati.

“Contoh terkini ialah mengenai Ahli Parlimen Machang yang menyuarakan isu keselamatan, ketenteraman awam dan strategik negara tetapi telah dinafikan kedangkalan Speaker Dewan Rakyat serta ketidakcerdikan sokongan Timbalan-Timbalan speakernya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan tindakan Dewan Rakyat menggantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada menghadiri Dewan Rakyat selama enam bulan bermula 18 Julai 2024.

Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan usul menggantung tersebut susulan  dakwaan beliau mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Usul itu yang dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said itu diluluskan melalui undi belah bahagian.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul ketika mengumumkan keputusan tersebut memaklumkan seramai 110 Ahli Parlimen bersetuju, 63 tidak bersetuju, tidak hadir (46) manakala tidak undi (tiga) dengan usul berkenaan selepas ia dibahaskan oleh beberapa Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan.

Mengulas lanjut, Razali yang juga Ahli Dewan Negara berkata, penggantungan enam bulan Ahli Parlimen Machang itu turut memberi kesan mendalam terhadap pengundi dan rakyatnya.

Beliau berkata, tindakan itu juga menyebabkan rakyat dan pengundi semakin membenci Kerajaan Madani, sekali gus telah mengheret kebencian melampau terhadap Parlimen Malaysia.

“Rakyat sudah tidak boleh meletakkan sebarang harapan kepada janji-janji kerajaan sekarang. Demokrasi telah dinafikan!” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2024

- Advertisement -