
BETAPA pentingnya iman, jadi kita perlu memilih. Nak senang? Semua orang nak senang. Nak duit dan hidup selesa. Tetapi, kita perlu memilih kalau nak senang, duit yang kita nak ambil itu menepati ajaran agama atau tidak.
Apa kesannya kepada hidup kita di akhirat. Maka, orang beriman harus pandai memilih. Kita masuk Islam ini menandakan kita sudah pandai memilih kerana tidak masuk agama lain sedangkan agama lain banyak.
Suatu ketika dahulu, ramai pemuda Indonesia memeluk agama Kristian kerana mereka ditawarkan isteri yang cantik dan cerdik. Gereja menanggung semua kos seperti mas kahwin. Sehingga ke tahap itu tawaran yang diberikan, tetapi akidah mereka telah rosak.
Pemberian beras pula biasa berlaku di gereja. Oleh kerana ramai orang Islam yang miskin pada ketika itu, kerana mahukan beras, mereka sanggup memeluk agama Kristian.
Oleh itu, duduklah dengan iman selalu dan minta supaya Allah menunjukkan laluan supaya kita tidak hanyut dan sesat. Semakin nak sampai ke akhir zaman, semakin banyak cabarannya. Nabi menyebut dalam hadis, cabaran pada akhir zaman ialah kebendaan.
تعِس عبدُ الدينارِ ، تعِس عبدُ الدرهمِ
Maksudnya “Celakalah orang yang menjadi hamba kepada dinar dan dirham.”
Bahasa mudahnya, dinar melambangkan duit emas atau kemewahan, kesenangan, jawatan dan kedudukan. Kalau orang mengejarnya sehingga melawan dan meninggalkan agama, maka celakalah dia.
Nabi menyebut dalam hadis lain,
فَوَاللَّهِ ما الفَقْرَ أخْشَى علَيْكُم، ولَكِنِّي أخْشَى أنْ تُبْسَطَ عَلَيْكُمُ الدُّنْيَا كما بُسِطَتْ علَى مَن كانَ قَبْلَكُمْ، فَتَنَافَسُوهَا كما تَنَافَسُوهَا، وتُهْلِكَكُمْ كما أهْلَكَتْهُمْ
“Demi Allah, aku tidak takut kamu susah. Aku takut apabila dunia terbentang luas di hadapan kamu, sebagaimana dibentangkan kepada umat terdahulu, lalu mereka berebut dengannya (dunia) sebagaimana kamu. Akhirnya, dunia akan memusnahkan kamu sebagaimana ia memusnahkan umat terdahulu.”
Nabi tidak takut kalau kita sesak kerana kita akan mencari masjid, sembahyang, berdoa dan ingat kepada Allah.
Inilah peringatan Nabi. Kita tidak menjadi rosak disebabkan oleh sesak.
Semakin sesak, biasanya semakin kuat doa, amal ibadah dan dekat dengan Allah. Tetapi, apabila senang dan mewah, maka menjadi masalah. Apabila sibuk, kita akan meninggalkan ibadah. – HARAKAHDAILY 16/7/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.
Ikuti Channel rasmi Harakahdaily di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!




















