
NIBONG TEBAL: PERIKATAN NASIONAL (PN) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat jam 8.15 malam tadi.
Calon PN, Abidin Ismail memperoleh 14,554 undi, manakala calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin hanya memperoleh 10,285 undi.
Ini bermakna Abidin atau lebih dikenali sebagai Abang Bidin menang dengan majoriti 4,269 undi pada PRK Sungai Bakap kali ini.
Mengikut data pengiraan, PH hanya memenangi satu saluran iaitu di Puteri Gunung daripada sembilan saluran.
Keputusan tidak rasmi itu berdasarkan carta kemas kini yang disediakan Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP).
SPR dijangkakan akan mengumumkan keputusan PRK Sungai Bakap secara rasmi pada jam 9 malam nanti.
Jumlah pengundi berdaftar di DUN Sungai Bakap seramai 39,279 orang termasuk 57 anggota polis. – HARAKAHDAILY 6/7/2024




















