Tinta buat Sungai Bakap

- Advertisement -

TINTA ini saya tuliskan buat sahabat, kawan serta penduduk Sungai Bakap, baik yang mengenali mahupun yang baru mengenali sebagai satu ikhtiar terakhir kerana Allah Ta’ala.

Berada di Nibong Tebal ini sejak lahir adalah satu tempoh yang sangat panjang. Kerana di sini adalah tempat saya mencari rezeki, inilah tempat saya berkeluarga, inilah tempat saya menabur bakti.

Permasalahan yang dihadapi oleh penduduk setempat merupakan permasalahan yang dihadapi saya sendiri. Baik dari segi alam sekitarnya, airnya mahupun pembangunannya. Sungguh, ianya sangat membekas di dalam hati saya dan keluarga.

- Advertisement -

Tuan-tuan dan puan-puan,

Sungguh, tidak tertahan sebaknya apabila nama diangkat sebagai calon bagi mewakili Perikatan Nasional di DUN Sungai Bakap. Pada asalnya saya hanya sebagai pegawai khas buat arwah Abang Zam. Di dalam PAS kami tidak diajar sama sekali untuk meminta-minta jawatan, kerana ianya amat berat sekali untuk dijawab di hadapan Allah SWT kelak.

Namun..

Melihat sokongan, dorongan dan doa keluarga, anak muda, pelbagai kaum dan orang ramai, ianya menguatkan saya kembali. Bahkan apabila teringat kembali bagaimana arwah Abang Zam bersungguh-sungguh membantu warga Sungai Bakap, menambahkan lagi semangat untuk meneruskan legasi yang ditinggalnya.

Andai kata saya terpilih untuk menjadi ADUN Sungai Bakap pada kali ini, sekali lagi saya memohon untuk sama-sama bergerak dengan saya, dan janji saya pada penduduk Sungai Bakap khususnya adalah saya tidak akan tinggalkan kerja kerja kebajikan yang telah saya mulakan bersama arwah Abang Zam.

Ayuh bersama-sama kita memberi signal kepada kerajaan bahawa mereka tidak boleh berbuat sesuka hati mereka dengan tetap menekan rakyat sebegini. Dan pesan saya, ayuh ajak seluruh keluarga untuk turun mengundi, jangan sesekali membazirkan undi dengan tidak turun mengundi.

Terakhir daripada saya, banyakkan berdoa, agar Allah beri pemimpin yang terbaik buat penduduk Sungai Bakap.

Yang menghargai:
Abang Abidin
Calon no 2 PRK Sungai Bakap. – HARAKAHDAILY 5/7/2024

- Advertisement -