
NIBONG TEBAL: Ahli Parlimen (MP) Jelutong, RSN Rayer digesa memohon maaf kepada keluarga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff (atau lebih dikenali sebagai Abang Zam) berikutan panggilan ‘mendiang’ dalam satu kenyataan.
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang, Dr Siti Mastura Muhammad berkata, kenyataan panggilan ‘mendiang’ tersebut satu kenyataan yang amat mendukacitakan dan sensitif bagi orang Islam.
“Selain (panggilan ‘mendiang’ tersebut) Ahli Parlimen Jelutong (juga) menuduh Allahyarham Zamri tidak pernah membawa isu air ke Sidang DUN (yang memerlukan beliau untuk memohon maaf),” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Siti Mastura, umum mengetahui bahawa panggilan untuk orang yang telah meninggal dunia bagi orang Islam dan bukan Islam adalah berbeza.
“Justeru dengan panggilan tersebut, menunjukkan MP Jelutong tidak cakna akan sensitiviti agama lain.
“Maka, Dewan Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang menuntut permohonan maaf dari MP Jelutong atas keceluparan beliau yang tidak menjaga sensitiviti ini lebih-lebih lagi kepada ahli keluarga Allahyarham Nor Zamri Latiff,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/7/2024




















