Iraq sertai Hizbullah jika Israel serang Lubnan

Kumpulan Penentangan Islam Iraq berikrar akan menyertai pejuang Hizbullah jika Lubnan diserang Zionis Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat. (FOTO: MNA)
- Advertisement -

BAGHDAD: Pejuang anti-keganasan, Kumpulan Penentangan Islam Iraq telah menyatakan kesediaannya untuk memerangi Israel dan Amerika Syarikat jika rejim Zionis dan sekutunya melancarkan perang baharu ke atas Lubnan.

Seorang komander medan kumpulan itu memberitahu AFP bahawa akan ada ‘peningkatan untuk peningkatan’ dalam persediaan itu  sekiranya berlaku pencerobohan tentera sepenuhnya terhadap Lubnan.

- Advertisement -

Komander itu, yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, juga berkata bahawa Kumpulan Penentangan Islam di Iraq telah pun menghantar ‘pakar dan penasihat’ ke Lubnan.

Sementara itu, ahli sains politik Iraq, Ali al-Baidar memberi amaran bahawa perang besar antara Israel dan gerakan penentangan Hizbullah Lubnan ‘tidak akan terhad kepada wilayah Lubnan’.

“Di Iraq dan di rantau ini kumpulan bersenjata akan memasuki konfrontasi,” tegasnya, lapor MNA.

Terdahulu, Hizbullah Lubnan dan Zionis Israel telah berbalas tembakan sejak awal Oktober 2023, sejurus selepas entiti perampas itu melancarkan perang pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza berikutan operasi mengejut oleh kumpulan penentang Hamas Palestin.

Hizbullah berikrar untuk meneruskan serangan balasnya selagi rejim Tel Aviv meneruskan serangan di Gaza, yang setakat ini telah membunuh sekurang-kurangnya 37,953 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan mencederakan 87,266 yang lain. -Agensi/– HARAKAHDAILY 4/7/2024

- Advertisement -