
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan telah digunakan Program Latihan Pembangunan Sumber Manusia Bhd. (HRD Corp) untuk pelaburan berisiko tinggi menanggung kerugian besar.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, PAC mendapati HRD Corp yang bukan merupakan sebuah institusi pelaburan telah melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan dengan menggunakan wang levi seperti ‘put and call option’.
“Pelaburan ini adalah berisiko tinggi dan boleh mendedahkan HRD Corp kepada kerugian besar.
“Sedangkan matlamat penubuhan HRD Corp adalah untuk pengenaan dan pemungutan levi pembangunan sumber manusia bagi maksud penggalakan latihan dan pembangunan kerja, perantis dan pelatih serta penubuhan dan pentadbiran Kumpulan Wang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali; Naib Pengerusi PAC, Wong Shu Qi dan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Dato’ Adnan Hassan.
Menurut Mas Ermieyati, PAC mendapati jumlah kutipan levi yang telah dicatatkan oleh HRD Corp telah meningkat dengan begitu ketara sekali, mencecah RM2.134 bilion pada tahun 2023 berbanding RM475 juta pada 2020.
Tambah beliau, peningkatan yang begitu ketara ini adalah akibat daripada perluasan Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) 2001 pada 1 Mac 2021, yang mana kenaan levi telah diwajibkan kepada semua sektor industri.
“Melalui prosiding yang telah diadakan, PAC dimaklumkan bahawa terdapat sejumlah levi yang tidak digunakan oleh majikan dalam tempoh dua tahun akan dikategorikan sebagai ‘unutilised levy’ (‘levi tidak digunakan’)
“Tempoh ini dilihat terlalu singkat yang mana ia tidak dapat membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sepenuhnya untuk menggunakan dana latihan tersebut,” ujarnya.
Laporan PAC turut mendedahkan, panel pelaburan HRD Corp gagal melaporkan aktiviti pelaburan yang sepatutnya kepada Ahli Lembaga Pengarah (ALP) atas justifikasi bahawa pengerusi panel pelaburan adalah pengerusi ALP.
Susulan daripada itu, ALP tidak berupaya memantau aktiviti pelaburan HRD Corp secara menyeluruh dan ini menjejaskan peranannya sebagai entiti yang bertanggungjawab terhadap hala tuju HRD Corp.
Selain itu, PAC berkata, berlaku pelanggaran Akta PSMB 2001, ini berikutan, tiada wakil Bank Negara Malaysia (BNM) dilantik sebagai seorang daripada ahli panel pelaburan sejak 2017.
PAC turut memberitahu siasatan ke atas HRD Corp yang dimulakan Oktober tahun lalu turut mengenal pasti beberapa kelemahan lain dalam pengurusan syarikat itu antaranya dari segi tadbir urus, kaedah perolehan dan pembelian hartanah yang mencurigakan atau mendatangkan kerugian.
Justeru, beliau menyatakan sebagai langkah penambahbaikan, PAC Parlimen telah mengesyorkan kepada kerajaan terutamanya Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sebagai kementerian bertanggungjawab terhadap isu tersebut.
“Antaranya ialah memandangkan HRD Corp telah berkembang sejak penubuhannya, maka KESUMA perlu mengkaji semula keperluan untuk dijadikan sebagai badan berkanun bagi memastikan tadbir urus yang lebih baik dengan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).
“ALP HRD Corp perlu mengkaji semula kaedah pemindahan levi ke tabung ‘unutilised levy’ untuk memastikan kepentingan PKS dipelihara. HRD Corp perlu mengambil langkah proaktif mencari alternatif bagi PKS untuk menggunakan wang caruman sebelum dikategorikan sebagai ‘unutilised levy’.
“KESUMA juga perlu mengkaji semula dan meminda Akta PSMB 2001 supaya wakil Bank Negara Malaysia (BNM) tidak perlu dilantik sebagai ahli panel pelaburan lagi memandangkan BNM berpendapat bahawa perkara ini bercanggah dengan peranan BNM sebagai pengawal selia (regulator).
Beliau menegaskan, HRD Corp harus menumpu dengan lebih proaktif kepada penyaluran dana latihan (disbursement of training funds) untuk memastikan pembangunan sumber manusia dan tenaga kerja berkemahiran tinggi melalui program-program latihan yang lebih menyeluruh serta tertumpu dan tidak hanya bersifat generik.
“HRD Corp perlu memastikan setiap aktiviti pelaburan dipantau oleh panel pelaburan dan ALP HRD Corp dengan lebih telus dan teratur. Panel pelaburan wajib melaporkan aktiviti pelaburan kepada Lembaga Pengarah apabila diminta seperti yang termaktub dalam Akta PSMB 2001 dan bukan hanya kepada Pengerusi ALP.
Beliau menyatakan juga, HRD Corp perlu mewujudkan garis panduan bagi perolehan aset termasuk dan tidak terhad kepada Limits of Authority (LOA) dan SOP, supaya terdapat satu proses piawaian prosedur yang konsisten dan memastikan pelaksanaannya dipatuhi sepenuhnya.
“KESUMA harus melantik perunding bebas untuk melakukan pengauditan forensik keberkesanan program-program latihan yang dijalankan di bawah HRD Corp termasuk dan tidak terhad kepada program-program di bawah geran Kerajaan.
“Ia harus juga mengambil kira segala aduan dalam pelaksanaan program tersebut. Laporan forensik tersebut perlu dilaporkan semula kepada PAC,” ujarnya.
Tambah Mas Ermieyati, KESUMA perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam memantau dan meneliti perjanjian-perjanjian yang dimeterai oleh HRD Corp dengan pihak ketiga dan juga program-program yang dilaksanakan serta mendapatkan pandangan daripada Penasihat Undang-undang KESUMA sekiranya perlu.
“KESUMA dan HRD Corp perlu menambah baik tata kelola syarikat berlandaskan laporan Governance Framework Review (Semakan Rangka Kerja Tadbir Urus) tahun 2018, yang telah dihasilkan oleh Tetuan Ernst & Young.
“Khusus bagi HRD Corp, jawatan Pegawai Undang-undang dan Setiausaha Syarikat haruslah individu yang berlainan untuk memastikan tanggungjawab berkaitan dapat dijalankan dengan sebaiknya.
“KESUMA perlu mengkaji semula kuasa HRD Corp khususnya peranannya dalam Lembaga Pengarah serta Panel Pelaburan; dan sekiranya perlu, membuat pindaan terhadap Akta PSMB 2001,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/7/2024




















