Tarik minat pelajar pelbagai kaum sertai TVET: Pelan kerajaan?

Mohd Misbahul Munir Masduki
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memperhalusi perancangan bagi menarik minat pelajar pelbagai kaum di negara ini untuk menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) berkata, TVET kini sudah menjadi agenda sistem pendidikan di seluruh dunia yang sedang merintis laluan era digitalisasi dan automasi.

“Minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan apakah pelan dilaksanakan oleh kerajaan meningkatkan peluang kepada pelajar pelbagai kaum melanjutkan pengajian ke peringkat TVET,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan persoalan tersebut kepada Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Ts. Mustapha Sakmud sempena persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Dalam jawapannya Mustapha berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa komited pastikan akses ke Institusi Pengajian Tinggi selain menyediakan perancangan komprehensif bagi perkasakan TVET KPT

Menurutnya, hal itu diterjemahkan melalui Hala Tuju Transformasi Politeknik 2023-2035 dan TVET Termaju Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) bagi mencapai hasrat tersebut.

“Tranformasi politeknik 2023-2035 secara strategiknya memperkukuh peranan politeknik malaysia sebagai institusi TVET yang berdaya saing menjelang tahun 2035.

“Transformasi ini telah dibangunkan pada tahun 2023 yang dirasmikan kerajaan pada 4 Disember lalu dengan aspirasi untuk meningkatkan pelajar TVET di politeknik,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/7/2024

- Advertisement -