PM Australia tolak jemputan sidang NATO di Washington

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese. (FOTO: Daily Mail)
- Advertisement -

CANBERRA: Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menolak jemputan untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin dunia pada sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Washington, sebaliknya memilih untuk menghantar timbalannya.

Keputusan untuk menghantar timbalannya, Richard Marles yang juga Menteri Pertahanan Australia itu diputuskan oleh Albanese supaya beliau dapat memfokus kepada hal-hal domestik negaranya di sebalik berdepan kritikan hebat mengenai kekerapan perjalanan antarabangsanya semasa menjadi perdana menteri, lapor The New Daily.

Albanese juga sedang bergelut di tengah-tengah kebimbangan pandangan yang buruk ketika rakyat Australia bergelut dalam krisis kos sara hidup, dengan kerajaan mempromosikan langkah bantuannya minggu ini, termasuk rebat tenaga dan pemotongan cukai yang bermula pada Isnin untuk mengatasi inflasi berterusan dan kadar faedah yang tinggi.

- Advertisement -

Marles dalam pada itu berkata, kehadirannya pada sidang kemuncak NATO yang akan diadakan mulai Selasa minggu depan, bakal menekankan komitmen Australia untuk menyokong keutamaan strategik rantau itu serta untuk menegakkan konsep ‘perintah berasaskan peraturan’.

Sementara itu, jurucakap parti pembangkang, Simon Birmingham mengkritik keputusan Albanese untuk tidak menyertai pemimpin lain yang bakal meraikan ulang tahun ke-75 NATO, menyifatkannya sebagai ‘mengabaikan tugas’.

“Keselamatan negara adalah tanggungjawab tertinggi kerajaan. Idea bahawa Anthony Albanese lebih suka berkempen untuk menyokong kerusi marginal Parti Buruh daripada duduk bersama pemimpin NATO untuk memastikan keselamatan global dan kepentingan keselamatan negara kita didengari adalah gambaran yang mengerikan tentang keutamaannya,” katanya.

NATO merupakan pakatan ketenteraan yang diwakili 32 buah negara dari benua Eropah dan Amerika Utara dan telah ditubuhkan pada 1949 selepas tamatnya perang dunia kedua, dengan menggunakan sistem keselamatan kolektif; yang menyaksikan negara-negara anggota bebasnya bersetuju untuk saling mempertahankan satu sama lain sebagai tindak balas terhadap serangan oleh mana-mana pihak. -Agensi/– HARAKAHDAILY 2/7/2024

- Advertisement -