
KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62) tidak pernah dipinda sejak 33 tahun lalu atau kali terakhir pindaan dibuat pada 1991.
Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) membangkitkan isu skop kuasa yang ada pada Ketua Audit Negara tentang pengukuhan mandat tugas dan fungsi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC); dan punca kuasa membuat audit dan syor susulan.
“Jadi selepas ini, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) ini syarikat swasta.. tetapi duit dana kerajaan. Maka, apabila kita luluskan memanglah audit negara kena masuk untuk menyiasat.
“Kenapa nak ditawarkan saham kepada syarikat anasir asing ini sebab bermula tertubuhnya MAHB adalah dana rakyat dan negara, jadi saya minta luluskan yang ini, tetapi adakah audit negara ini mempunyai badan penguatkuasa yang cukup?
“Sedangkan sekarang untuk kementerian dan jabatan kerajaan pun mereka tidak ada tenaga kerja yang cukup,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Audit (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Awang meminta kos yang lebih untuk mencukupkan tenaga kerja bagi membuat penguatkuasaan dalam menjaga hak dan harta negara berdasarkan pindaan Fasal 2 yang meminda Seksyen 5 Akta 62 yang semakin diluaskan skopnya.
“Oleh demikian saya minta audit MAHB ini permulaannya selepas kita luluskan mesti diaudit oleh Ketua Audit Negara,” hujahnya.
Bagaimanapun, keadaan itu mengundang pertikaman lidah lebih 20 minit antara blok pembangkang dan kerajaan yang menyaksika Awang enggan memberi laluan ketika Tan Kar Hing (PH-Gopeng) ingin mencelah.
Keadaan semakin panas apabila Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) dan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) menyifatkan Awang tidak memahami isu di sebalik penjualan saham MAHB itu dan menyebabkan tempoh perbahasan Awang juga tamat begitu sahaja.
Sementara itu, Timbalan Yang di-Pertua, Alice Lau Kiong Yieng yang enggan memanjangkan pertelagahan itu bertindak menangguhkan sesi perbahasan RUU berkenaan.
“Saya rasa ahli-ahli Yang Berhormat tak berminat untuk berbahas, jadi mesyuarat Dewan Rakyat hari ini ditangguhkan hingga 10 pagi, 3 Julai 2024 (esok),” katanya. – HARAKAHDAILY 2/7/2024




















