‘Kajian jantina ketiga: Mana laporan, kenyataan terkini Suhakam?’

Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) digesa mengeluarkan kenyataan dan mengeluarkan laporan terkini berkenaan dengan kajian jantina ketiga yang pernah tular pada satu ketika dahulu.

Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata, ini berikutan apabila Suhakam dahulunya secara terbuka mencari penyelidik untuk sebuah kajian mengenai jantina ketiga ini.

- Advertisement -

“Sehingga ini tiada kenyataan dikeluarkan oleh pihak Suhakam berkenaan dengan kajian tersebut dan sejauh manakah ia telah dijalankan?

“Adakah ia masih diteruskan ataupun ditarik balik? Walaupun tindakan ini cuba untuk dinormalisasikan oleh beberapa pihak atas nama untuk tujuan penyelidikan dan hak asasi manusia.

“Namun, jika diperhalusi dengan lebih mendalam kajian tersebut dilihat sebagai usaha untuk mengiktiraf golongan jantina ketiga dan ia jelas bertentangan dengan Perlembagaan serta menimbulkan kegelisahan umat Islam di negara ini,” hujah beliau.

Idris yang juga merupakan Naib Presiden PAS mengemukakan perkara tersebut ketika membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan SUHAKAM bagi tahun 2021 dan tahun 2022 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Selain itu, menurut beliau, susulan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melakukan larian Langkah Muar, Suhakam perlu mengambil tindakan dan menyiasat terhadap satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Menteri Dua Pulau Pinang, Dato’ Dr Mohamad Abdul Hamid ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK)  Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap baru-baru ini.

Menurut Idris, Dr Mohamad telah menyebut bahawasanya perlu memilih calon daripada kerajaan kerana yang pertama akan mendapat peruntukan sebanyak RM300,000 untuk pembekalan dan juga infrastruktur manakala sebulannya pula RM20,000 untuk gaji-gaji staf.

“Berbanding dengan calon daripada pembangkang kalau menang hanyalah dapat RM60,000 saja untuk pembekalan dan infrastruktur dan juga RM6,000 sahaja untuk pusat khidmat,” kata beliau memetik ucapan Dr Mohamad dalam satu video yang dirakamkan.

Terdahulu, media tempatan melaporkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melakukan larian Langkah Muar daripada Muar sehingga tiba di Parlimen pagi hari ini (1 Julai) dalam soal tuntutan berkenaan dengan peruntukan Ahli Parlimen. – HARAKAHDAILY 1/7/2024

- Advertisement -