
KUALA LUMPUR: Kesan domino kini telah dialami golongan petani di negara ini akibat daripada kenaikan harga diesel walaupun bakal menerima subsidi bersasar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin berkata, semalam beliau telah menghadiri Karnival Jelapang Padi di kawasan Sungai Besar bagi mendengar beberapa taklimat yang berkaitan dengan pertanian.
“Antaranya ialah mengenai keladi Agas dan diikuti tentang bagaimana racun yang sewajarnya digunakan seperti penggunaan dron dan seumpamanya tetapi yang paling utama ialah kos subsidi diesel,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, dalam taklimat tersebut juga kerajaan menyatakan akan memberikan subsidi bersasar kepada golongan petani ini bagi menghadapi kenaikan harga diesel baru-baru ini.
Tambah beliau, kerajaan juga dikatakan akan memberi sedikit insentif kepada mereka yang mana walaupun perkara tersebut masih belum dimuktamadkan lagi tetapi para petani akan menerimanya pada bulan yang terdekat.
“Namun begitu, masih ada kesan domino walaupun difahamkan kerajaan memberi sedikit insentif yang tak dimuktamadkan lagi tetapi mereka akan pastikan kebiasaannya insyaallah dalam bulan atau musim kedua ini.
“Sebenarnya kesan domino daripada kenaikan harga diesel ialah kos penunaian, kos jentera dan sebagainya yang mana semuanya akan meningkat secara mendadak sehingga satu relung lebih kurang RM400.
“Akhirnya, harga sebegitu akan diserap dan ditanggung oleh golongan petani itu sendiri. Jadi, ini merupakan satu perkara yang boleh dibangkitkan di DUN dan Parlimen supaya kerajaan menambah lagi subsidi atau kerajaan negeri bantu sama-sama meringankan beban para petani kita,” ujarnya.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan kenaikan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia daripada kadar RM2.16 seliter kepada RM3.35 seliter yang mana kenaikan harga tersebut bermula 10 Jun ini.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah, harga runcit baharu bahan api itu adalah berdasarkan formula mekanisme harga automatik (APM) bagi bulan Mei.
Sehubungan ityu, Mohd Zamri meluahkan kebimbangan sekiranya ada segelintir petani yang tidak mahu lagi menanam padi kerana mengira kos-kos yang perlu mereka hadapi termasuklah penyelenggaran mesin padi itu sendiri.
Kata beliau lagi, banyak lagi perkara yang perlu diambil kira secara menyeluruh oleh kerajaan dan mana-mana pihak yang berwajib apabila menyentuh isu sebegini.
“Saya difahamkan kini adanya teknologi drone yang semakin canggih dan ramai juga petani yang sudah mula membeli drone sendiri yang mana ini merupakan satu perkembangan yang baik.
“Malah saya telah melihat penggunaan racun dalam pertanian iaitu berbentuk serbuk dan cecair yang mana ramai petani lebih gemar menggunakan cecair memandangkan serbuk memerlukan air yang begitu banyak.
“Apa pun, ini merupakan satu perkembangan yang baik iaitu menteknologikan dan automatiskan pertaniaan tetapi kita akan tetap angkat isu-isu yang dihadapi oleh para petani dalam DUN akan datang supaya kerajaan negeri mengambil perhatian,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2024




















