
KUALA LUMPUR: Demonstrasi dikenal sebagai Demo Rakyat Lawan Anwar Round 1 adalah sebagai ‘surat amaran pertama’ buat kerajaan supaya membetulkan situasi semasa di negara ini.
Pempengaruh media sosial, Aidil Yunus yang turut dikenali sebagai YB Viral berkata, sudah lebih dari 18 bulan rakyat telah memberikan peluang kepada Kerajaan Madani bagi membetulkan keadaan dalam negara ini.
“Namun begitu, seperti mana yang kita boleh lihat pada hari ini iaitu bukan sahaja keadaan negara tidak berubah tetapi juga rakyat semakin tersepit.
“Maka kita mengadakan demonstrasi tersebut yang akan diadakan pada Sabtu (29 Jun) ini sebagai signal amaran pertama kepada kerajaan Madani,” katanya pada sidang media Demo Rakyat Lawan Anwar Round 1, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah artis veteran Dayangku Intan; dan Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid, serta aktivis Demi Negara, Siti Zulaika Olivia.
Menurut YB Viral, demonstrasi tersebut adalah bersifat ‘rakyat untuk rakyat’ kerana langsung tidak ditaja oleh mana-mana parti politik.
Tambah beliau, sebanyak lapan perkara yang akan rakyat tuntut dalam pelaksanaan demonstrasi ini yang bertujuan supaya mendapat perhatian sepenuhnya oleh kerajaan Madani.
“Antaranya ialah kerajaan perlu menurunkan kembali harga minyak diesel dan jangan naikkan harga minyak RON95. Kedua, kerajaan perlu mengembalikan bekalan beras tempatan tanpa kenaikan harga dan membela nasib pesawah.
“Ketiga, kerajaan perlu mengambil tindakan segera dalam mengatasi masalah kemiskinan bandar akibat Covid-19 dengan meluluskan kumpulan pencarum yang memerlukan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk meneruskan kehidupan.
“Keempat, kerajaan perlu tangani kenaikan kos sara hidup dengan segera dan telus serta menghentikan sebarang manipulasi data ekonomi.
“Kelima, kerajaan perlu membela nasib kakitangan kesihatan awam dengan menaiktaraf prasarana dan kualiti perkhidmatan serta membatalkan pelaksanaan Kertas Putih Kesihatan yang bakal menswastakan perkhidmatan kesihatan awam.
“Keenam, kerajaan perlu berlaku adil kepada barisan Ahli Parlimen pembangkang dengan peruntukan kewangan yang mencukupi supaya mereka boleh melaksanakan tugas mereka dengan efektif melalui pelaksanaan undang-undang peruntukan kewangan yang setara dan adil.
“Ketujuh, kerajaan perlu hentikan cubaan untuk membisukan rakyat yang meluahkan pandangan dan kritikan terhadap kerajaan manakala yang terakhir ialah menghentikan polisi-polisi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang menekan rakyat dan menjarah aset negara,” jelasnya.
Terdahulu, pada 27 Jun lalu, YB Viral bersama-sama Dayangku Intan dan Siti Zulaikha telah hadir di IPD Dang Wangi untuk disiasat berkaitan perancangan Demonstrasi Rakyat Lawan Anwar Round 1.
Siasatan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi & Multimedia 1998.
Sementara itu, Rafique menyatakan rakyat mempunyai hak untuk mengadakan demonstrasi secara aman di tempat-tempat awam.
“Malah, undang-undang negara ini membenarkan rakyat untuk turun berhimpun beramai-ramai tetapi mestilah di tempat yang awam dan tidak melakukan sebarang keganasan,” katanya.
Apabila ditanya mengenai sasaran berapa ramai yang akan hadir dalam demonstrasi tersebut, YB Viral menjangkakan seramai 600 orang yang akan hadir pada hari tersebut.
Kata beliau lagi, demonstrasi tersebut hanyalah bersifat aman yang tiada sebarang niat politik kerana rakyat hanya inginkan kerajaan untuk melakukan perubahan yang lebih baik.
“Jadi kita harapkan lebih ramai yang akan datang ke demonstrasi ini yang akan diadakan di tempat letak kenderaan berhadapan Kompleks Seri Perdana, Jalan P10/8, Presint 10, Putrajaya.
“Kenapa memilih Putrajaya? Kerana rakyat inginkan kerajaan untuk mengambil perhatian sepenuhnya bahawasanya keadaan mereka semakin terbeban dengan kenaikan kos sara hidup dan seumpamanya akibat daripada polisi kerajaan itu sendiri.
“Jadi, kami mengharapkan agar dengan cara demonstrasi ini maka kerajaan boleh mengkaji semula dan membetulkan keadaan rakyat negara ini.
“Analogi untuk isu sebegini ialah mudah sahaja iaitu seperti kita membeli sebuah kereta dan selagi ianya boleh dibaiki maka perlu kita baiki tetapi kalau tidak boleh baiki juga maka beli kereta baharu,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2024




















