
BESUT: Sejumlah 215.85 kilogram (kg) sampah dasar laut dan pesisir pantai berjaya dikutip menerusi Program Sukarelawan Antarabangsa Fasa Kedua Dive Against Debris (DAD) yang berlangsung selama tiga hari.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, program pembersihan di kawasan Pulau Perhentian Kecil, Long Beach itu membabitkan 149 sukarelawan dari dalam dan luar negara.
“Seramai 32 penyelam skuba yang mengutip sampah di kawasan terumbu karang dasar laut dan 117 sukarelawan di tepi pantai.
“Antara sampah yang banyak dikutip adalah puntung rokok, straw plastik, botol plastik, dan pelbagai lagi,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.
Turut hadir, Ketua Penolong Pentadbir Tanah Besut, Mohamad Ridwan Mohd Nor, Pengarah Program, Ariff Ismail, dan Penasihat Program, Datuk Zuraidah Atan.
Program itu telah mendapat tajaan utama dari Kenanga Investors Berhad serta dikelolakan oleh Black Eye Scuba Team (BEST) dengan kerjasama Yayasan Salam Malaysia (SALAM) dan Pejabat Daerah Besut.
Menurut Zuraidah, program tersebut dijalankan melalui tiga peringkat iaitu DAD, Pembersihan Pantai (Beach Cleanup), dan Pendidikan Alam Sekitar (Environment Education).
Katanya, inisiatif itu bertujuan bagi memupuk semangat menjaga alam sekitar, khususnya pemuliharaan lautan dan kebersihan pantai selaras dengan slogan ‘Menjaga Pantai dan Laut Bersih, Budaya Mulia, Amalan Kita’.
“Program ini bukan sahaja berjaya dalam usaha membersihkan alam sekitar, tetapi juga memberikan pendidikan alam sekitar yang penting kepada semua peserta.
“Aktiviti ‘Dive Against Debris’ atau terjunan untuk menaikkan sampah sarap dari laut ini memang menjadi aktiviti di beberapa negara yang mempunyai kesedaran tinggi mengenai penjagaan laut,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2024




















