
KUALA LUMPUR: “Kerajaan dilihat cuba mengalih perhatian rakyat daripada isu kenaikan harga minyak Diesel kepada melaga-lagakan Semenanjung dengan Sabah, Sarawak.”
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, walau apa pun tindakan kerajaan, ia kini bak kata pepatah Melayu, ‘pelanduk lupakan jerat, jerat tak lupakan pelanduk’.
“Kita masih fokus kepada isu utama, iaitu Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) dan Kerajaan Madani yang tiada azam politik, kerana bertindak ikut senarai semak Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
“Menurut laman sesawang IMF, dalam topik ‘Fossil Fuel Subsidy’, misi IMF ialah supaya kerajaan tidak lagi menetapkan harga minyak berdasarkan faktor politik.
“Oleh sebab karenah sebahagian politikus, bunyi ‘politik’ kelihatan buruk. Sebenarnya, ‘politik’ itu hanya bermaksud ‘kuasa rakyat’. ‘Politik’ adalah baik kerana lawan kepada ‘politik’ ialah ‘Kapitalis Maha Kaya’,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, apabila harga yang dipanggil ‘harga subsidi’ dikenakan, maka ia hanya bermakna harga yang disukai rakyat.
“IMF pula, melalui Kerajaan Madani, nak apungkan harga minyak, dengan misi supaya harga minyak tidak lagi dikawal kuasa rakyat. Subsidi bersasar hanyalah istilah untuk mengalih perhatian.
“Kerajaan sering jadikan kekangan fiskal sebagai alasan untuk naikkan harga minyak. Fiskal merujuk duit keluar daripada kerajaan dibayar kepada syarikat minyak. Ini digembar-gemburkan sebagai nilai subsidi.
“Namun, definisi nilai subsidi oleh pelbagai badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), IMF dan Organisasi Perdagangan Dunia (WTO) tidak mengikut nilai yang kerajaan kata,” jelasnya.
Ahmad Fayhsal berkata, kebiasaannya nilai subsidi dianggar berdasarkan perbezaan antara harga runcit tempatan dengan harga pasaran dunia.
“Maknanya apa? Tiada kaitan dengan kerajaan keluar duit. Malah, ia hanya anggaran harga pasaran.
“Tapi kerajaan beria-ia kata nilai subsidi ini ialah semata-mata duit yang kerajaan keluar untuk bayar syarikat minyak.
“Kalau berani, kerajaan perlu dedahkan berapa banyak duit dibayar kepada syarikat minyak. Sama tak dengan nilai bilion-bilion yang kerajaan gembar-gemburkan?
“Sebab itu, Pak Menteri dan pegawai kerajaan keluarkan angka berbeza untuk nilai subsidi!” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa IMF turut mengunjurkan inflasi global susut, masing-masing kepada 5.9 peratus pada 2024 dan 4.5 peratus pada 2025 daripada purata tahunan 6.8 peratus pada 2023. – HARAKAHDAILY 22/6/2024




















