‘Isu Lockheed Martin, BAE Systems, bukti kerajaan lemah pendirian’

Muhammad Rafique Rashid 
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu dua syarikat pembekal senjata utama kepada Israel, Lockheed Martin dan BAE Systems menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (DSA-NATSEC) Asia 2024 di ibu negara pada hari ini membuktikan pendirian lemah kerajaan mengenai soal isu Palestin.

Ketua Penerangan PEJUANG, Muhammad Rafique Rashid berkata, semalam pelbagai pihak baik parti-parti politik mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO) anti-Zionis Israel dan anti-jenayah perang menggesa kerajaan supaya tidak hipokrit dalam soal mempertahankan rakyat Palestin.

- Advertisement -

“Malah individu yang berpengaruh tinggi seperti mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad juga  menggesa kerajaan Malaysia mengenai isu yang sama,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, umum sedia tahu bahawa DSA-NATSEC 2024 yang mempamerkan aset-aset  teknologi ketenteraan, senjata dan perkhidmatan keselamatan kini sedang rancak berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur dari 6 hingga 9 Mei ini.

Apa yang dikesali, ujar beliau, ia turut disertai oleh syarikat-syarikat pembekal senjata yang memperkuat rejim Zionis Israel dan sekutunya Amerika Syarikat (AS) termasuk Lockheed Martin dan BAE Systems.

“Menteri Pertahanan Malaysia, Dato Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan Media hari ini menyatakan Malaysia adalah sebuah negara perdagangan bebas yang memberi ruang kepada semua pemain industri global untuk memasukkan produk dan perkhidmatan mereka dalam negara ini.

“Ditambah pula oleh beliau ialah hubungan- hubungan syarikat pertahanan global dengan negara tertentu adalah urusan perniagaan yang tidak akan Malaysia campur tangan.

“Ya, kita faham posisi berkecuali serta perdagangan bebas yang selama ini menjadi asas sandaran Malaysia dalam pelbagai isu antarabangsa,” ujar beliau.

Namun, kenyataan terkini Mohamed Khaked itu ketika situasi genting yang dihadapi oleh jutaan rakyat Palestin, tegas Rafique ,menunjukkan kegagalan negara menangani perkara ini, lebih-lebih lagi apabila berita terkini adalah Rafah di Semenanjung Gaza kini menjadi sasaran pengeboman dan ibarat medan pembunuhan berama-ramai (genosid) oleh Zionis Israel.

Beliau menyatakan, kenyataan Menteri Pertahanan Malaysia tersebut mendukacitakan dan adalah satu peluang keemasan yang dilepaskan untuk menunjukkan bahawa Malaysia benar-benar akan melawan keganasan, jenayah perang dan genosid Israel yang berlaku di Gaza.

Kata beliau lagi, sudah terang lagi bersuluh bahawa akhirnya benarlah apa yang bermain di fikiran rakyat yang Malaysia hanya gah dan berani berucap di pentas dunia (mengenai sokongan terhadap Palestin) dengan rakaman-rakaman video untuk tontonan halwa mata dan telinga penyokong-penyokong Madani.

“Apabila diberi peluang bertindak, Malaysia akan bentang karpet merah dan sediakan bunga manggar, tunduk layu pada mereka yang lebih berkuasa terutamanya dari barat atas alasan kononnya hubungan perniagaan itu hak masing-masing, hanyalah alasan.

“Keengganan kerajaan Malaysia menghantar mesej jelas bahawa pembekal senjata yang memusnahkan Palestin akan dicela dan dipulau menampakkan kedangkalan dan kepura-puraan dalam memperjuang isu kemanusiaan sejagat di Palestin. 

“Ia ibaratkan paku sebatang, kuat bunyi tukulnya bertalu-talu dan itulah Kerajaan Madani pada hari ini – lebih bunyi dari aksi kerana tak ada guruh pada orang pekak, tak ada kilat pada orang buta,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/5/2024

- Advertisement -