
KOTA BHARU: Kelantan mewujudkan Unit Perpaduan Masyarakat di bawah Urusetia Belia dan Sukan (U-Bes) bagi menyemarakkan lagi keharmonian dan perpaduan kaum
Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan, NGO dan Perpaduan negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, unit terbabit berkolaborasi dengan Pusat Intergrasi Antara Kaum Negeri Kelantan (PEKA).
Katanya, unit tersebut bekerjasama dengan PEKA dipengerusikan Lim Guan Seng.
“Selain kita bekerjasama dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) untuk merangka program dan aktiviti bagi memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya di sini.
Menurutnya, penubuhan Unit Perpaduan Masyarakat bagi memperkukuhkan hubungan antara kaum di bawah pentadbiran Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) yang diterajui Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
Zamakhshari yang juga ADUN Apam Putra berkata, kerajaan negeri akan menganjur minggu perpaduan pada Jun hadapan dengan kerjasama agensi kerajaan Persekutuan.
Menurutnya juga pelbagai aktiviti sukan dilaksana bagi memperkukuhkan perpaduan kaum di Kelantan termasuk penganjuran Liga U-Bes, Piala Menteri Besar serta Piala Udomdham yang diadakan setiap tahun membabitkan kaum Siam.
“Sukan mampu memupuk perpaduan antara kaum. Setiap tahun kita mengadakan aktiviti sukan dan belia termasuk melibatkan kaum Siam melalui NGO masing-masing,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/5/2024











