
KANGAR: Perlis berusaha meningkatkan promosi pelancongan negeri secara lebih giat lagi dengan mengadakan hubungan bersama Persatuan Pemandu Pelancongan Langkawi (LGTA).
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, seramai 44 pemandu pelancong di seluruh Malaysia bernaung di bawah persatuan tersebut.
“Persatuan Pemandu Pelancongan Langkawi (LGTA) telah mengadakan satu lawatan Jejak Perlis pada 6 Mei, semalam di beberapa tempat seluruh negeri Perlis.
“Tujuan lawatan ini adalah untuk memberi gambaran kepada persatuan pemandu pelancong berhubung potensi produk-produk baharu dan tempat pelancongan di negeri ini untuk diketengahkan lagi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau meraikan kedatangan ahli persatuan dalam majlis makan malam yang turut dihadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri(SUK) Perlis, Rusdi Yahya di Glass Cafe Gunung Medan, di sini, malam tadi.
Di samping itu taklimat sempena Tahun Melawat Perlis (TMP) 2024–2025 turut diadakan serta disampaikan oleh Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Dr Puteh Soraya A Rahman. – HARAKAHDAILY 7/5/2024











