Konvensyen perkasa perundangan Islam di Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan akan menganjurkan Konvensyen Pemantapan Perundangan dan Institusi Syariah pada 21 Mei ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud berkata, konvensyen itu bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk memperkasakan perundangan Islam.

“Konvensyen Pemantapan Perundangan Dan Institusi Syariah bagi mencari solusi untuk mengembalikan 16 seksyen Enakmen Syariah Kelantan yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini,” katanya di sini.

Sebelum itu beliau mempengerusikan mesyuarat penganjuran konvensyen di Kota Darulnaim. (Foto atas)

Hadir sama ADUN Melor, Wan Rohimi Wan Daud; ADUN Cempaka, Nik Baharum Nik Abdullah dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Dato’ Che Mohd Rahim Jusoh.

Selain itu Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru Prof Emeritus Dato’ Dr Johari Mat dan pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

Sebelum ini Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas mendengar petisyen dikemukakan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman. – HARAKAHDAILY 7/5/2024

- Advertisement -