
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil langkah penyelesaian bagi menangani sekolah kurang murid (SKM) yang kebanyakannya berlaku di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berkata, ia menjadi dilema bukan sahaja pentadbiran sekolah, bahkan timbul persoalan perlukah lagi sekolah seperti itu.
“Apakah pendekatan terkini kerajaan dalam menangani isu sekolah kekurangan murid di kawasan luar bandar dan pendalaman termasuk keberkesanan kaedah pengabungan SKM.
“Apakah kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan sekolah yang hadapi kepadatan murid dapat dibina bangunan baharu tambahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Pendidikan dalam sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawapan Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pihak kementerian sentiasa memberi tumpuan perkara yang dibangkitkan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krai itu.
Malah KPM sentiasa mengakui wujud masalah SKM bukan sahaja dalam Parlimen Kuala Krai, malah beberapa lokasi di negara ini yang telah dikenal pasti oleh Kementerian Pendidikan.
“Kita maklum bahawa di kawasan tertentu ada terdapatnya SKM ia satu perkara dan isu yang sentiasa dipandang berat oleh KPM dan kita mempunyai pendekatan untuk selesaikan.
“Isu ini dipandang berat oleh KPM dan sekiranya secara spesifik dari kawasan Kuala Krai ada input boleh serah kepada KPM, tindakan dan perbincangan seterusnya boleh dilakukan,” katanya.
Terdahulu Ahli Parlimen Taiping itu menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) meminta status sejauhmana status perbincangan mengenai automasi pendidikan di Sarawak. – HARAKAHDAILY 21/3/2024




















