
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dicadang untuk melahirkan pelapis muda dan ikon sukan permotoran dengan bajet yang ada dan juga memberi peruntukan tambahan sebanyak RM32 juta daripada RM2 juta kepada tujuan tersebut.
Ustaz Sabri Azit (PN-Jerai) berkata, ini berikutan satu artikel dalam portal berita baru-baru ini memberi gambaran mengenai penantian untuk melihat pelumba negara kembali beraksi di kelas MotoGP kejuaraan motosikal dunia dijangka berlarutan hingga 10 tahun lagi.
Tambahnya, MBS juga dicadang mempelbagaikan tujuan atau aktiviti di Sepang International Circuit (SIC) seperti menjadikannya sebagai mercu pelancongan dalam negara sebagai hasil tambahan.
Ustaz Sabri mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2023) 2024 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan di Dewan Rakyat, di sini, sebentar tadi.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam jawapannya berkata bahawa Rakan Litar antara 10 gaya hidup dalam Rakan Muda yang menerima bajet RM20 juta pada tahun ini.
Tambahnya, SIC dipertanggungjawabkan oleh KBS untuk menganjurkan lebih banyak lagi program bukan sahaja bertaraf antarabangsa, tetapi golongan belia juga boleh menggunakan tempat tersebut.
“Dan kita akan pastikan Jabatan Belia dan Sukan Negara juga akan menggunakan Litar SIC untuk kita memberi ruang kepada golongan belia yang mungkin tidak mampu untuk menyewa tempat tersebut.
“Tetapi melalui program KBS, kita akan membuka ruang untuk belia masuk ke tempat tersebut. Kita juga sedang melihat model-model business yang lain seperti menggunakan tempat itu untuk acara event yang berlainan.
“Saya juga telah menganjurkan satu sesi untuk mengenali SIC dengan semua data yang hadir di Malaysia supaya mereka juga boleh menyewa tempat tersebut untuk mesyuarat korporat.
“Kita ada banyak fasiliti di situ. Dan SIC akan membentangkan pelan perniagaan kepada KBS tahun ini,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 20/3/2024




















