
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia digesa meneliti kebajikan pekerja swasta yang berumur lebih 60 tahun berikutan had umur tuntutan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hanya sehingga 60 tahun sahaja.
Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) berkata, ini juga adalah antara sebab cadangan kerajaan untuk memansuhkan pencen penjawat awam tidak dipersetujui banyak pihak.
“Apabila dia (penjawat awam) pergi kepada swasta, bila dia bekerja di sektor swasta, dia sudah tidak mendapat kebajikan apabila dia berumur 61 tahun, dia tidak boleh membuat tuntutan lagi berbanding dengan kakitangan kerajaan.
“Jadi merujuk kepada laporan DoSM (Department of Statistic Malaysia), kemaskini pada 13 September 2023 purata jangka hayat rakyat Malaysia sudah menjangkau 74.8 maksudnya 74 ataupun 75 tahunlah.
“Jadi apakah perancangan kerajaan? Sama ada bagi mereka yang tidak pernah buat tuntutan ini yang mereka sampai umur 60 mencarum tetapi tidak pernah membuat tuntutan diberi manfaat juga.
“Contohnya separuh daripada manfaat-manfaat ataupun apakah yang boleh kerajaan lakukan untuk bantu mereka,” soal Wan Razali kepada Kementerian tersebut.
Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Sumber Manusia pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Rakyat, Parlimen di sini sebentar tadi.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dalam jawapannya memberitahu, terdapat salah satu daripada empat Akta di bawah Akta Keselamatan Sosial PERKESO yang menjawab permasalahan tersebut.
“Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, Akta 789 yang faedahnya bencana kerja, tiada had umur, maknanya boleh. Boleh mencarum tiada had umur (bagi) individu yang bekerja sendiri.
“Maksudnya pekerja ini mendapat perlindungan sepenuhnya yang sekiranya mencapai umur yang dinyatakan oleh YB sebentar tadi. Dan dia akan dibawa ke atas dan lebih bekerja dalam sektor formal ataupun sektor pekerjaan sendiri.
“Maksudnya kalau balik kepada pencen mungkin yang dikaji oleh pihak kerajaan, saya tak pasti tapi saya menjangka sebab saya duduk di KSM (Kementerian Sumber Manusia) kita sedang membuat kajian juga.
“Bahawa apakah faedahnya kalau dibandingkan kita suka membuat bandingan umpamanya kita lebih kurang 1.7 (juta) pegawai kerajaan ataupun penjawat awam, kita ada lebih kurang hampir 10 juta yang bekerja sendiri.
“Jika dibandingkan lebih ramai yang bekerja sendiri, yang tidak ada pencen. Sebab itu kita sediakan melalui PERKESO, KWSP umpamanya. Dan inilah sebenarnya yang kita sedang juga terlibat mengkaji bagaimanakah penglibatan mereka ini.
“(Iaitu) yang saya nyatakan di bawah Akta Keselamatan Sosial Di Bawah Pekerjaan Sendiri 2017 yang boleh memasuki sehingga melebihi had 60 tahun juga tetap boleh mencarum di dalam PERKESO itu sendiri,” jawab beliau.
Wan Razali dalam soalan asalnya meminta dinyatakan adakah Kementerian berhasrat untuk mengkaji had umur bagi kelayakan manfaat pencarum PERKESO yang kini terhad sehingga 60 tahun dinaikkan kepada had umur lebih lanjut contohnya kepada 70 tahun. – HARAKAHDAILY 14/3/2024




















