Bubur lambuk Jerai relevan setiap tahun 

Musoddak turut membantu petugas menyediakan bubur lambuk Jerai.
- Advertisement -

JERAI: Bubur kanji PAS Jerai atau lebih dikenali sebagai bubur lambuk, antara paling popular khususnya di kawasan sekitar kerana keunikan rasanya.

Seawal hari pertama ibadah puasa bermula, petugas mula sibuk menyediakan juadah itu yang dinanti-nantikan oleh orang ramai untuk berbuka puasa.  

- Advertisement -

“Selalunya kita masak dua periuk besar setiap hari dengan bantuan beberapa petugas yang berpengalaman menyediakan bubur lambuk,” kata Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Jerai, Ustaz Musoddak Ahmad, ketika dihubungi HarakahDaily

“Bubur lambuk Jerai ini ibarat tradisi tahunan menjelang Ramadan dan seolah-olah ‘tak sah’ kalau tidak dilaksanakan,” tambahnya. 

Katanya lagi, kos untuk menyediakan dua periuk setiap hari memanglah agak tinggi memandangkan harga barangan seperti beras, santan dan lain-lain mahal ketika ini. 

Namun, ujar Musoddak, atas dasar tolong-menolong, ia dapat dijayakan melalui kutipan khususnya dari seluruh cawangan di kawasan tersebut selain sumbangan pihak individu. 

“Tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya, kos untuk memasak bubur lambuk ini dikutip di cawangan-cawangan PAS di kawasan Jerai. 

“Ada juga individu yang memberi sumbangan peribadi. Ada juga yang menaja untuk kos sehari, dua hari atau sebagainya,”jelasnya.

Beliau menyatakan, bubur lambuk yang telah siap dibungkus akan diambil oleh wakil cawangan mengikut giliran, untuk diagihkan kepada orang ramai di kampung masing-masing. 

“Orang ramai juga boleh datang ambil bubur lambuk di tempat penyediaan iaitu di Markas PAS Jerai. Selalunya dalam jam 3.30 petang, semua proses dah siap,” katanya. 

Bubur kanji PAS Jerai ini telah dimulakan sejak Al-Marhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak lagi, malah ketika Kedah di bawah pentadbirannya, makanan ini juga diedarkan kepada kakitangan Wisma Darul Aman setiap hari sepanjang Ramadan. – HARAKAHDAILY 13/3/2024

- Advertisement -