
PASIR PUTIH: Sempena bulan Ramadan kali ini, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising telah menganjurkan majlis agihan bantuan skim beras Al-Ita’am kepada 300 orang penerima.
Bukan itu sahaja, mereka turut menerima bantuan minyak masak, kurma dan gula pada majlis yang diadakan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Selising, disampaikan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan Dan Komoditi, berkata, sumbangan berkenaan diharap dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung penduduk kampung yang kini berhadapan dengan peningkatan harga barang.
“Sumbangan ini juga sebagai tanda ingatan di bulan Ramadan dan diharapkan ianya dapat meringankan beban tuan-tuan semua,” katanya pada majlis itu.
Beliau memberitahu, melalui skim tersebut, penerima mendapat bekalan gantang beras (10.8 kilogram), minyak masak, gula masing-masing seberat sekilogram setiap bulan.
Tambahnya, bagaimanapun pada bulan Ramadan tambahan satu kotak kurma turut diagihkan kepada setiap penerima.
Sumbangan Skim Beras Al-It’am mula diperkenalkan oleh kerajaan Kelantan pada tahun 2011; dan bermula tahun itu sehingga 2022, melalui peruntukan sebanyak RM49.1 juta kepada 13,500 penerima bagi keseluruhan 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan. – HARAKAHDAILY 12/3/2024




















