
KUALA LUMPUR: Sekiranya kerajaan mempunyai rancangan menoktahkan miskin tegar, maka kerajaan juga harus ada program menoktahkan sekolah-sekolah daif di Malaysia, demikian gesa Datuk Ali Biju (PN-Saratok).
Katanya, isu sekolah daif harus diangkat sebagai isu nasional dan isu besar yang sekian lama tidak selesai di mana kerajaan perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk menoktahkannya terutama di Sabah dan Sarawak.
“Kalau kerajaan mempunyai program khas untuk menoktahkan kejadian miskin tegar di Malaysia, saya harap kerajaan pun ada program khas untuk menoktahkan sekolah daif ini,” ujarnya.
Tambah beliau, pendidikan awal memberi kesan jangka panjang, oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan pendidikan yang kondusif dan infrastruktur terbaik untuk pelajaran dan pembelajaran.
“Pelajaran dan pembelajaran murid yang kondusif bermula dari peringkat kanak-kanak dapat membentuk masyarakat yang baik demi menjamin masa depan negara.
“Saya amat setuju dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mengungkap pepatah Melayu bahawa ‘melentur buruh biarlah dari rebungnya’,” ujarnya sewaktu perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.
Jelas beliau, pada keseluruhannya menurut Laporan Audit Negara 2022 sebanyak 1,505 bilangan sekolah yang telah dikenal pasti mempunyai sekolah daif pada skala 6 dan 7 sehingga 31 Disember 2022.
Tambahnya, daripada jumlah 1,505 tersebut sebahagian besar sekolah daif berada di Sabah dan Sarawak iaitu sebanyak 593 buah di Sarawak dan 484 buah di Sabah.
Sebanyak 411 buah sekolah daif telah diangkat pelaksanaannya di seluruh negara dan status pada masa kini sedang dalam banyak peringkat pembinaan, kata beliau.
“Yang menjadi persoalannya adalah status 1,094 buah sekolah daif yang belum diangkat permohonan pelaksanaannya sehingga 31 Disember 2022
“Memandangkan masalah sekolah daif ini telah dan masih berlaku semenjak sekian lamanya terutama di Sabah dan Sarawak, saya menyeru dan meminta pencerahan apakah kerangka besar yang dilaksanakan oleh kerajaan?
“Terutama Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Ekonomi, KKR di dalam usaha menyelesaikan isu sekolah daif yang masih berjumlah 1,094 buah ini?
“Apakah langkah drastik yang akan diambil oleh kerajaan sama ada menyelenggara, membaik pulih atau membina baru sekolah daif?
“Berapa anggaran keseluruhan kos sekolah daif di Malaysia? Berapa lama lagi anak-anak sekolah kita harus menunggu bangunan sekolah yang selesa dan selamat?” soalnya. – HARAKAHDAILY 8/2/2024




















