
ALOR SETAR: Pemerkasaan tanggungjawab dan tugasan selain latihan serta pembangunan kemahiran, antara fokus kerajaan negeri untuk melahirkan Majlis Ketua Kampung (MKK) yang berwibawa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali (PAS- Merbau Pulas) berkata, MKK mempunyai tanggungjawab yang besar khususnya membuat keputusan berkaitan pembangunan dan pentadbiran kampung.
“Sementara kerajaan negeri juga menyediakan latihan dan pembangunan kemahiran kepada semua MKK untuk meningkatkan keupayaan dalam mentadbir kampung secara berkesan dengan kerjasama Institut Pengurusan Dan Integriti Negeri Kedah (INSPIN) dan Institut Kemajuan Desa (INFRA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Ustaz Salim Mahmood (PAS-Bukit Lada) pada sesi soalan lisan, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, penggal ke-15, di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
Dalam sesi berkenaan juga, Salim bertanya mengenai penjelasan sejauh mana fokus kerajaan negeri untuk memperkasakan fungsi MKK seluruh negeri.
Justeru Ashah berkata, untuk memastikan aliran maklumat yang efektif dari peringkat atasan kepada MKK dapat disampaikan secara tuntas ke peringkat bawahan, pendedahan komunikasi dan penyampaian maklumat secara berkesan juga diberi penekanan.
MKK juga, ujar beliau, telah diberikan pendedahan bagaimana untuk memastikan penduduk kampung bergiat aktif dengan program-program anjuran kerajaan negeri, mahupun MKK sendiri.
“MKK juga disaran agar memastikan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan persekutuan dapat dimanfaatkan oleh penduduk kampung terutama berkaitan meningkatkan ekonomi dan penjanaan peluang pekerjaan.
“MKK juga perlu cakna terhadap keperluan infrastruktur kampung dengan memastikan segala keperluan asas tersedia, selain sentiasa berhubungan dengan pejabat daerah melaporkan permasalahan yang timbul supaya dapat dipanjangkan ke peringkat yang lebih tinggi.
“Selain turut mengambil perhatian kepada penyediaan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, dan sistem pembuangan sisa yang berkesan di kampung untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas itu turut menyatakan, kerajaan negeri kini sedang berusaha mendapatkan peruntukan untuk disalurkan kepada MKK bagi memulakan pembangunan komuniti, seperti mewujudkan kedai runcit komuniti, ladang-ladang ternakan dan sayur-sayuran serta koperasi keusahawanan.
“Setakat ini, Kedah mempunyai 1,240 orang MKK termasuk 215 lantikan tambahan yang diluluskan oleh kerajaan negeri, baru-baru ini.
“Dengan jumlah berkenaan, saya yakin peranan MKK dapat diperkasakan, sekali gus menjadi agen pembangunan tempatan untuk meningkatkan kesejahteraan penduduk kampung,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2024




















