
BACHOK: Bermatlamat membantu rakyat yang kini semakin ramai dihimpit kesukaran akibat kos pelbagai barang keperluan semakin meningkat, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tawang telah menyalurkan sumbangan kepada 455 orang pelajar sekolah.
Kesemua mereka menerima sumbangan beg sekolah yang dipilih dari 44 buah kampung, termasuk 15 orang penerima dari masyarakat Cina dalam DUN berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tawang, Harun Ismail ketika ditemui HarakahDaily berkata, pihaknya memilih penerima dari keluarga berpendapatan rendah sambil menambah bahawa selain menerima sumbangan beg sekolah, 44 orang pelajar terpilih pula menerima pakaian seragam sekolah.
“Sebagai contoh keluarga susah, anak-anak ramai, jadi mereka tidak mampu untuk mengeluarkan perbelanjaan sekaligus bagi tujuan itu (penyediaan kelengkapan sekolah).
“Hasrat kita yang paling utama untuk meringankan beban penduduk kampung. Selepas waktu persekolahan dibuka beberapa hari, Ramadan pula akan disambung, kemudian Aidilfitri,” katanya.
Tambah beliau, harga barang keperluan kini semakin meningkat, bukan hanya barangan dapur, sebaliknya hampir semua kategori termasuk kelengkapan sekolah seperti pakaian seragam.
“Walaupun kita tidak boleh menamatkan kesusahan penduduk, namun sekurang-kurangnya dapat mengurangkan masalah yang dihadapi mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/2/2024




















